Cerita ArtisHiburan

Fasha Sandha Puji Datuk Seri Aliff Syukri Boleh Berlakon

Bergandingan buat pertama kali dengan rakan baiknya, pelakon Fasha Sandha berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang berlakon dengan pengasas produk kecantikan dan kesihatan D’herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Menurut Fasha, Aliff mempunyai bakat lakonan yang baik biarpun filem Badang merupakan naskhah pertama dalam bidang lakonan yang dijayakan oleh usahawan berusia 31 tahun itu.

“Okey sahaja tiada masalah berlakon dengan Datuk Seri Aliff. Saya dah biasa berlakon dengan pelakon baharu sebelum ini. Walaupun beliau baharu, tapi beliau tetap berusaha mendalami wataknya. Bagi saya, beliau memang boleh berlakon.

“Yang paling penting, Datuk Seri Aliff seorang yang sangat menepati waktu ketika bekerja sebab itu saya senang bekerja dengan beliau,” kata Fasha ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis tayangan media filem Badang di MM2 e@Curve, Damansara semalam.

Badang yang diarahkan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen itu dibintangi Fauzi Nawawi, Azhari Zain, Aminah Rhapor, Fareez Fauzi, Julia Ziegler, Elisya Sandha dan Datin Seri Nur Shahida.

Yang menariknya, menerusi filem ini Fasha telah mengorbankan rambut panjang mengurainya bagi menjayakan satu babak di mana rambutnya dipotong sehingga menjadi pendek seperti lelaki.

“Menerusi filem ini juga saya pertama kali potong rambut ‘boy cut’ macam yang anda saksikan dalam filem itu. Ia merupakan satu pengalaman yang baik untuk saya bagi merealisasikan sesuatu watak itu. Penggambaran berjalan pada Februari tahun lepas dan kini rambut saya pun dah panjang balik,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanyakan mengenai babak-babak mesra di antaranya dengan Aliff, Fasha mendedahkan sebelum sesuatu babak itu dirakamkan dia akan terlebih dahulu meminta keizinan daripada isteri Aliff iaitu Datin Seri Nur Shahida yang turut sama berlakon dalam filem ini.

“Datuk Seri Aliff kawan baik saya, saya pun ada minta kebenaran isteri beliau dulu sebelum melakonkan babak-babak bercinta dengan suaminya. Senang bekerja, tiadalah takut-takut berlakon sebab dah minta izin terlebih dahulu,” ujar aktres berusia 34 tahun itu lagi.

Badang, filem bergenre komedi dan adiwira yang diterbitkan FiTA Studios dan UiTM Holdings ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 Februari depan. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram Aqoimran

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button