• FOLLOW US
Event, Hiburan

Imbau Nostalgia, Konsert 40 Tahun Hikayat M. Nasir Penuh Bertenaga

Puas dan terhibur! Itu kata-kata yang dapat diungkapkan sepanjang lebih tiga jam menyaksikan Konsert Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan M.Nasir yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Tiada siapa yang boleh menidakkan kredibiliti dan bakat yang dimiliki figura bernama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini.

Di kala usianya mencecah 62 tahun, Datuk M. Nasir ternyata mempunyai kelasnya yang tersendiri melayakkan membawa gelaran Sifu seperti mana yang dikenali individu dalam industri nyanyian.

Konsert dihidupkan tepat jam 8.45 malam dengan persembahan pembukaan daripada kumpulan dikir barat yang diketuai oleh Sabri Yunus dengan lagu Langgam Pak Dogo.

Saat M. Nasir melangkah keluar, adrenalin penonton terus memuncak dengan seleksi lagu pada segmen pertama yang cukup mengimbau kenangan seperti Anak-Anak Kita, Phoenix Bangkit, Keroncong Untuk Ana, Sentuhan Listrikmu, Bila Rumi Menari dan Tarian Cinta Rimba Mistikal.

Memasuki segmen kedua, M. Nasir membuat kelainan dengan membawakan lagu-lagu penyanyi lain yang merupakan hasil gubahannya.

2,800 penonton nyata teruja dengan kompilasi lagu-lagu medley tersebut malah dewan konsert pantas bertukar menjadi pentas dansa apabila sebahagian penonton yang cukup sporting sudah berdiri mengikut irama lagu yang didendangkan lebih-lebih lagi pada lagu penutup Pawana yang merupakan nyanyian asal kumpulan Search.

Antara lagu yang dimainkan seperi Kenangan Lalu (Flybaits), Hingga Akhir Nanti (Alleycats), Bercanda Di Pasiran Pantai (Anita Sarawak), Milik Siapakan Gadis Ini (Sudirman), Istana Menanti (Rahim Maarof) dan Sampai Hati (Spring).

Dikenali seorang yang cukup serius, namun pabila berada di atas pentas personaliti M. Nasir berubah 180 darjah apabila beliau dilihat cukup bijak menghidupkan suasana dengan humor ringkas seperti saat gitar terhantuk di kepalanya yang mendapat hilai tawa daripada penonton.

Terharu dengan sokongan peminat yang tidak jemu menyokong karyanya, M. Nasir berharap agar lagu-lagu ciptaannya akan kekal malar segar sampai bila-bila.

Memasuki segmen terakhir, penyanyi kelahiran Singapura itu pantas menyerikan pentas dengan lagu-lagu hitsnya yang dinanti-nantikam penonton sejak permulaan konsert lagi.

Ekpress Rakyat, Hati Emas, Gerhana, Gurindam Gunung Tahan, Bikin Filem, Bukalah Hatimu, Mentera Semerah Padi, Sahabat Gua, Apokalips, Ada, Raikan Cinta merupakan seleksi lagu yang melatari segmen terakhir.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada hadirin, M. Nasir menghadiahkan lagu encore, Mustika sambil memperkenalkan barisan pemuzik mengiringinya pada malam itu yang dipimpin oleh Zul Mahat.

Ternyata konsert yang dianjurkan Shiraz Projects ini berjaya mengembalikan nostalgia buat peminat setia M. Nasir dan tidak mustahil di atas sambutan yang diberikan, jenama 40 Tahun Hikayat M. Nasir mungkin boleh dijadikan sebagai konsert jelajah di setiap negeri selepas ini, mana tahu kan? – KopiPlanet.com

Kredit foto:JNewRule

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend