FilemTerkini

“Industri Perfileman Tempatan Masih Ada Sinar” – Hana Hussain

Ketika industri perfileman dunia sedang mengalami ketidaktentuan akibat pandemik Covid- 19, masih ada sebenarnya yang meletakkan keyakinan bahawasanya perniagaan dalam bidang perfileman secara keseluruhannya masih mempunyai sinar dan harapan.

Jika kebanyakan tauke panggung sedang mengira untung nasib, ada pihak yang optimis masih terdapat jalan untuk memasarkan filem, meskipun jalannya masih samar tanpa sebarang jaminan.

Bagi Faizatul Hasanah Hussain atau Hana Hussain yang berpengalaman luas dalam bidang penebitan, dia percaya industri perfileman tempatan dan dunia secara amnya masih mampu hidup, namun perlu mengubah cara pemasaran mengikut perubahan semasa.

“Tidak pernah siapa menyangka dunia akan berubah sekelip mata akibat pandemik ini. Siapa pernah meramal yang kehidupan kita juga akan berubah dengan mematuhi pelbagai SOP? Begitu juga dengan filem, perubahan ini yang sedang kita lalui hari ini.

“Apa pun yang terjadi, industri filem tetap akan hidup. Cuma caranya mungkin berubah dengan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi. Sebagai penerbit filem, kita perlu berani menghadapi situasi ini dan bersikap optimis,” katanya.

Jelasnya, sebagai penerbitndia tidak boleh meletakkan kutipan di panggung sebagai penanda aras semata-mata, sebaliknya perlu menggunakan pelbagai platform lain, termasuklah menjual filem kepada stesen televisyen atau kepada plaform digital yang popular ketika ini.

Tambahnya, itu sudah pasti akan memberikan pulangan semula kepada pelabur dan penerbit filem dalam jangka masa yang panjang. Lebih baik daripada membiarkan sahaja sinema tempatan ‘mati’ dalam diam tanpa sebarang produk baharu.

“Ini risiko yang perlu diambil tetapi untuk orang industri, tiada yang mustahil. Semuanya kita perlu lalui dengan hati yang terbuka demi kelangsungan sinema tanah air.

“Selain itu, sebagai penerbit dengan adanya penggambaran ini secara tidak langsung dapat berkongsi rezeki dengan kru produksi yang sudah tiga bulan tidak bekerja. Sedikit sebanyak ini memberikan mereka senyuman dalam keadaan ekonomo yang tidak menentu,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani pembikinan filem Janet-Sumpahan Terlarang.

Bercerita mengenai filem tersebut pula, Hana yakin naskhah yang diambil daripada sebuah kisah legenda urban Sarawak itu cukup popular dalam kalangan penduduk di sana sekitar tahun 60-an dan 70-an dahulu.

Diterbitkan oleh Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. mengisahkan seorang gadis bernama Janet yang dianiayai oleh insan yang dicintainya sehingga menghantui kehidupan mereka satu persatu.
Pelbagai aspek utama yang diterapkan antaranya dendam, seram, sejarah, persahabatan, cinta dan kekeluargaan menerusi karya yang ditulis oleh Nazri M. Annuar.

Sepatutnya penggambaran filem ini dilakukan di Sarawak namun disebabkan pandemik, lokasinya terpaksa diubah ke Janda Baik, Pahang dan Kuala Lumpur. Beberapa jalan cerita juga terpaksa diubah agar bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sepanjang 15 hari proses penggambaran berlangsung, pelakon dan kru turut mengalami beberapa gangguan aneh dan misteri namun mereka tidak patah semangat untuk memastikan filem ini disiapkan.

Diarahkan oleh Mohd Azhar Mohd Khalid atau lebih mesra dipanggil Apache, antara pelakon yang terlibat termasuklah Safar Ghafar, Bulan Terry, Aliff Hadi, Ifa Raziah, Esma Daniel dan Ropie Cecupak.

Janet-Sumpahan Terlarang diterbitkan oleh Sufri Yusof Shamsuddin melalui syarikat Kaya Kenyalang Sdn. Bhd. Filem ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran awal Ogos yang lalu dan dijangka ditayangkan di seluruh pawagam tanah air, Astro First dan Netflix pada tahun hadapan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button