• FOLLOW US
Filem, Review

Langsuir Cerita Fantasi Percintaan Hantu Dengan Manusia

Tajuk: Langsuir
Tarikh Tayangan: 20 September 2018
Durasi: 1 jam 38 minit
Genre: Seram/Romantik
Pengarah: Osman Ali
Pelakon: Syafiq Kyle, Hannah Delisha, Firdaus Nadxaman, Julia Farhana Marin, Daaim Jailani, Shahkimin, Nazri John, Halim Radzi dan Naza Manas.
Klasifikasi: P13

Jika sebelum ini kita sudah dihidangkan dengan cerita pontianak versi Mat Saleh iaitu Twilight, apa kata kita ubah selera dengan menonton karya terbaharu pengarah berkaliber, Osman Ali berjudul Langsuir.

Menggunakan formula dua pelakon yang semakin meningkat naik, Syafiq Kyle dan Hannah Delisha nampaknya menjadi buat filem ini kerana kedua-duanya mampu memberikan keserasian dalam lakonan tanpa perlu berlebih-lebihan.

Menggunakan plot penceritaan kisah cinta terlarang di antara langsuir cantik dengan jejaka berhati mulia, ia digarap dengan begitu baik sehinggakan ia mampu membawa kita terbang bersama ke alam fantasi mereka.

Langsuir menceritakan sekumpulan rakan baik pergi bercuti di sebuah pulau larangan yang dikenali sebagai Pulau Langsuir. Walaupun sudah ditegah oleh orang kampung, namun mereka tetap juga mahu menjejakkan kaki ke sana.

Azlan kemudiannya jatuh cinta dengan Suri yang merupakan langsuir namun percintaannya itu membuatkan dua daripada sahabatnya bengang kerana menyifatkan Azlan ingin ‘menyimpan’ teman wanitanya daripada pengetahuan rakan-rakannya.

Bermula dari situ konflik tercetus sehinggalah kepala Suri dipaku oleh salah seorang kawan Azlan iaitu Zaman yang begitu ghairah ingin bersetubuh dengan langsuir cantik itu.

Tidak ketahuan tentang perkara yang terjadi kepada adiknya, kakak Suri, Dewi lakonan Julia Farhana Marin kemudiannya memulakan misi membalas dendam terhadap mereka yang telah melakukan kejahatan terhadap adiknya.

Adakah sekumpulan rakan-rakan itu berjaya keluar daripada pulau tersebut dengan selamat dan apakah kesudahan cinta Azlan dan Suri? Mampukah percintaan dua insan dari alam berbeza itu bertahan? Hanya dengan menonton filem ini akan dapat jawapannya.

Secara keseluruhannya, filem ini memaparkan sinematografi yang cantik apabila menunjukkan pemandangan indah pulau di Langkawi dengan menggunakan teknik kamera dron.

Filem yang diterbitkan Guam Teamwork Pictures Sdn Bhd dan Nuansa Films itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini (20 September).

Menelan kos sebanyak RM1.5 juta, filem ini telah menjalani penggambaran sepenuhnya di Pulau Langkawi pada bulan September dan Oktober tahun lalu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend