FilemReview

Roh Yang Tak Terlihat Filem Seram Mengalirkan Air Mata

Tajuk: Roh Yang Tak Terlihat
Tarikh Tayangan: 12 April 2018
Durasi: 1 jam 35 minit
Genre: Seram
Pengarah: Billy Christian
Pelakon: Sophia Latjuba, Estelle Linden, Bianca Hello, Roweina Umboh
Klasifikasi: 18

Kebiasaannya bila tengok filem seram, elemen seram itu akan pasti dapat dirasai oleh penonton, tapi pernahkah anda menonton filem seram yang mampu membuatkan anda menangis di penghujung ceritanya.. Itu kelainan yang anda akan dapat sekiranya menonton filem Indonesia, Roh Yang Tak Terlihat (RYTT).

Filem RYTT ini berada pada satu tahap yang tersendiri apabila penonton dilihat meninggalkan panggung dengan muka sedih malah ada yang menangis ketika majlis pratonton filem itu diadakan baru-baru ini.

Momentum filem ini digarap dengan cukup kemas daripada segi penceritaan, latar bunyi dan sinematografi sinonim dengan filem seram yang membuatkan penonton tidak akan dapat tidur malam.

Lakonan pelakon utamanya, Estelle Linden sebagai Saras juga cukup meyakinkan lebih-lebih saat dirinya dirasuk sehingga menari tarian tradisional di tengah-tengah ruang tamu dan dapur rumah. Itu antara elemen suspens yang berjaya dibawakan pengarah sehinggakan ada yang menonton di celahan jari sambil menutup mata!

Selain elemen suspens dan seramnya yang cukup berkesan sehingga membuatkan penonton terkejut, kekuatan filem ini turut bergantung kepada paparan kekeluargaan dan persahabatan.

Elemen itu diperkuatkan bagi memberikan jalan cerita yang cukup berkesan menunjukkan pengorbanan seorang ibu tunggal yang terpaksa membesarkan kedua-dua anak perempuannya disebabkan bekas suami yang tidak bertanggungjawab.

Berdepan dengan masalah kewangan, Lidya (Sophia Latjuba) juga perlu memikirkan kurniaan misteri terhadap anak sulungnya, Saras (Estelle Linden) sehinggakan menimbulkan konflik di antara mereka berdua.

Dibukakan hijab untuk melihat roh-roh mereka yang sudah mati, Saras kemudiannya bertemu dengan roh pelajar perempuan yang meminta pertolongan untuk menyampaikan pesanan kepada ibunya.

Di sebalik elemen seram, ketika ini perasaan penonton mula terbuai dengan rasa sedih dengan apa yang terjadi terhadap pelajar perempuan itu sepanjang menempuh alam remajanya.

Klimaks cerita ini apabila Saras mula mendapat ramalan apa yang bakal berlaku seterusnya sehingga membuatkan keluarganya menanggung derita di atas satu insiden yang menimpa pada malam malang tersebut.

Susulan insiden berkenaan, hubungan Saras dan ibunya menjadi semakin teruk sehinggakan Saras membawa diri selama tujuh tahun sebelum kembali semula bertemu dengan ibunya.

Kejadian yang paling meruntun hati pastinya apabila anda menonton sehingga ke penamat cerita yang sama sekali tidak dapat kita dijangkakan pengakhirannya.

Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini cukup memberi rasa kepada filem ini selain tidak melupakan elemen seram yang sejajar dengan genrenya. Yang menjadikan filem ini unik untuk ditonton ialah ia merupakan sebuah filem seram yang mampu membuatkan anda menitis air mata tatkala berakhirnya kredit filem ini.

Roh Yang Tak Terlihat akan menemui anda di pawagam berdekatan mulai 12 April ini. Filem ini diterbitkan oleh Cashmere Studios dan diedarkan di Malaysia oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd. – KopiPlanet.com

Sinopsis: 

Filem seram dari Indonesia ini menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal iaitu Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saras (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello). Saras, sejak zaman kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak lain umumnya kerana mempunyai kemampuan deria keenam atau disebut anak indigo.

Sebenarnya, Saras dapat melihat makhluk yang tidak mampu dilihat orang lain seperti roh orang yang sudah meninggal dunia. Bagaimanapun, keupayaan Saras dianggap tidak munasabah oleh ibu, Lidya sehingga menimbulkan konflik antara mereka.

Apabila menginjak usia 17 tahun, Saras telah dirasuk sebanyak dua kali dan ia membuat Lidya bimbang dan meminta pertolongan daripada kakaknya, Rima (Roweina Umboh), seorang ahli psikologi.

Pada suatu hari, Saras didatangi oleh roh seorang gadis yang bernama Dinda (Frisly Balqis) pelajar sekolah menengah yang meninggal dunia kerana dibuli oleh seorang pelajar bernama Citra (Aliyah Faizah). Roh Dinda datang menemui Saras untuk memberitahu sesuatu kepada ibu Dinda. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button