
Siti Nurhaliza Kumpul Dana RM105,000 Untuk Tiga Pesakit Jantung
Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meneruskan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SimplySiti Di Hati 2018 dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN), bertujuan mengumpul dana untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung.
Untuk tahun ini, kempen tersebut akan menanggung kos pembedahan tiga kanak-kanak iaitu Lam Zhe Yi, 10 bulan, Muhammad Firas Adib Mohamad Zaki, 4, dan Mahaani A/P Thayalan, 7, yang memerlukan biaya pembedahan yang dianggarkan sebanyak RM105,000.
Kempen terbabit akan dilaksanakan melalui RM5 daripada setiap pembelian RM100 produk SimplySiti, ia akan disumbangkan kepada tabung kempen berkenaan.
“Dalam mengharungi hidup ini ada suka dan duka. Rezeki yang dimiliki tidak salah jika kita berkongsi sedikit untuk membantu golongan memerlukan ini.
“Sebagai ibu, saya gembira apabila dapat membantu kanak-kanak ini. Saya mendoakan proses ini berjalan lancar dan kesemua kanak-kanak yang bakal menjalani pembedahan diberikan kesembuhan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Siti ditemui pada majlis sidang media kempen SimplySiti Di Hatiku 2018 yang diadakan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Yayasan IJN, Datin Seri Raja Zuraida Raja Mansur.
Menurut pelantun lagu Anta Permana ini, kempen CSR di bawah syarikat kosmetiknya miliknya itu sudah dijalankan sejak tahun 2011.

“Kempen tanggungjawab sosial ini kami sudah jalankan sejak tujuh tahun lalu. Alhamdulillah, setakat ini seramai 11 orang kanak-kanak sudah selamat menjalani pembedahan hasil sumbangan dana orang ramai yang menbeli sambil menderma. Untuk tahun ini, saya juga akan turun padang ke cawangan Watsons dan Creacion x SimplySiti terpilih bagi menjayakan kempen ini.
“Selain itu, pembeli juga berpeluang untuk menghadiri majlis minum petang bersama saya menerusi kempen yang dijalankan ini,” jelasnya. – KopiPlanet.com