• FOLLOW US

The Truth Teruskan Legasi Dakwah, Sebarkan Kebaikan Dalam Lagu

Walaupun industri seni nasyid dilihat sedikit suram tanpa generasi pelapis terbaharu, namun duo anak muda, The Truth yang dianggotai Naufal Isa, 23, dan Irwan Fariz, 22, berani bangkit untuk meneruskan dakwah menerusi lagu-lagu yang membawa mesej kebaikan dan positif.

Kedua-duanya yang mula aktif menyanyi ketika menuntut di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak berharap penampilan mereka dapat diterima ramai serta ingin dikenali sebagai penyanyi nasyid yang versatil.

“Kami ingin mencipta arus baharu dalam nyanyian nasyid dan dalam masa yang sama berkongsi dakwah serta nilai-nilai positif dalam lagu kami.

“Kalau diikutkan, kebanyakan lagu ‘cover’ kami mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Sebagai contoh, lagu-lagu hits antarabangsa yang kami nyanyikan semula seperti lagu BTS, Boy With Luv diubah ke bahasa Melayu yang mengandungi lirik-lirik yang membawa kebaikan kepada masyarakat,” kata Naufal ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran single pertama The Truth berjudul Cinta Sementara yang berlangsung di Shah Alam, baru-baru ini.

Sejak Cinta Sementara dilancarkan pada 3 Julai lalu, lagu tersebut telah berjaya meraih hampir 500,000 jumlah tontonan di laman Youtube.

Lagu ciptaan Ustaz Adnin Roslan dan Akmal Rabithah itu berkisarkan mengenai manusia yang mengejar cinta dunia dan cinta manusia, sehinggakan lupa bahawa hanya cinta kepada Allah adalah cinta yang hakiki dan kekal selamanya.

Bernaung di bawah label rakaman Tarbiah Sentap Records, The Truth dipelawa sendiri oleh pemilik syarikat produksi tersebut yang juga merupakan penulis novel motivasi terkenal, Ahmad Adnin Roslan, 28, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Adnin Roslan untuk melebarkan lagi bakat mereka ke pasaran yang lebih meluas.

“Saya sebenarnya lebih gemar mempelawa dan memilih sendiri penyanyi untuk bernaung di bawah Tarbiah Sentap Records. Yang paling penting adalah akhlak seseorang individu yang saya nak pelawa itu. Saya tak nak di kemudian hari kerana kalau ada yang bermasalah, ia akan memberi imej yang tidak baik kepada label Tarbiah Sentap itu sendiri.

“Untuk permulaan, Tarbiah Sentap mengetengahkan The Truth ke hadapan dalam perjuangan menyebarkan lagu-lagu yang membawa maksud positif dan kebaikan. Diharapkan ia dapat diterima baik oleh semua pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, insyaAllah,” kata Ustaz Adnin.

Selain lagu BTS, antara lagu hits antarabangsa yang turut pernah dialih bahasa oleh duo ini ialah Without Me nyanyian Halsey dan Way Back Home dendangan Shaun yang pantas meraih perhatian daripada peminat mereka. – KopiPlanet.com

Big Stage 3 Tampilkan Seorang Peserta Istimewa OKU Penglihatan

Big Stage musim ketiga kali ini menampilkan seorang peserta istimewa iaitu Dinie Rashid, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Anak jati Pulau Pinang ini berkata, dia menyahut cabaran untuk menyertai program realiti ini demi meluaskan bakatnya dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah saya terpilih sertai Big Stage musim ini, dalam keadaan saya yang macam ini saya kena bertanding dengan orang normal. Saya anggap ia sebagai cabaran, saya sebenarnya hanya boleh nampak sebanyak 20 peratus sahaja.

“Masa pergi audition tempoh hari memang mereka tidak tahu yang saya tidak boleh nampak, lepas sesi ujibakat itu baharu mereka tahu keadaan saya. Saya dilahirkan normal, cumanya nikmat penglihatan saya ditarik secara tiba-tiba ketika berusia sembilan tahun.

“Sudah ratusan ribu ringgit duit ibu dan bapa saya buat pelbagai pembedahan tapi memang sampai sekarang doktor pakar cakap penyakit saya belum ditemui penawarnya. Orang kalau nampak saya dari luaran, memang akan kata saya macam menipu tak nampak. Secara hakikatnya, saya hanya boleh bergerak secara perlahan-lahan dan dibantu oleh kawan saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

> Baca: Awal Ashaari, Scha Alyahya Bakal Timang Cahaya Mata Kedua

Dinie ditemui pada majlis sidang media pengumuman peserta Big Stage 2020 yang berlangsung di The Nicksman, The Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Dinie, 28, bakal bersaing dengan 11 lagi penyanyi iaitu peserta lelaki, Usop, 23, Qody, 26, Hafiz Zainal, 28, Azzam Sham, 23, Fadh Majid, 27, Amir Hasan, 24, Yamani Abdillah, 19, dan empat peserta perempuan iaitu Nana Sheme, 25, Hanie Soraya, 26, Sandra Dianne, 26, dan Farisha Iris, 23.

Dinie berkata bakatnya mula diketengahkan oleh pelakon Fizo Omar yang memberikan ruang buatnya muncul di laman Youtube milik aktor tersebut. Sejak itu, dia menerima lamaran membuat single lagu Bukan Cinta Aku yang pernah menjadi OST untuk drama Bukan Cinta Aku yang dilakonkan oleh Janna Nick dan Syafiq Kyle tahun lalu.

“Sebelum ini Fizo yang discover bakat saya dan dia bagi saya peluang muncul dalam saluran video dia. Selain itu, saya juga giat pergi memberikan motivasi di penjara-penjara dan sekolah-sekolah di seluruh negara berkongsikan pengalaman kehidupan saya yang hilang nikmat penglihatan.

“Ketika beri ceramah itu, saya tidak mahu nampak ia macam terlalu formal sebab itu saya selitkan dengan hiburan dendangan lagu dan dari situ bakat saya mula berkembang secara perlahan-lahan,” ujarnya lagi.

Big Stage 2020 akan bersiaran langsung bermula 16 Ogos ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Big Stage akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga meraih RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi. Persembahan peserta akan diadili tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah.

Untuk rekod, dua musim Big Stage terdahulu telah menobatkan Sarah Suhairi dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul selaku juara. – KopiPlanet.com

Empat Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Hati Amelina Kini Sudah Dimiliki

Selepas empat tahun bergelar ibu tunggal penyanyi yang mendapat julukan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina mengesahkan dia kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan.

Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, 46, bagaimanapun enggan memperincikan lebih lanjut gerangan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

“Secara jujurnya, apa yang boleh saya katakan kini kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Kalau ada jodoh, adalah.

“Kalau orang tanya tahun ini saya berkahwin, saya tiada kuasa untuk memberikan jawapan. Ini semua bergantung kepada ketentuan jodoh,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com.

Amelina ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single terbaharunya, Ada Untukmu yang berlangsung di Crave Cafe, Ara Damansara hari ini.

> Baca: Muat Naik Video Iklan Tampil Gadis Seksi, Emma Maembong Tutup Ruangan Komen

Ditanya sejauh mana keseriusan hubungan dengan lelaki berkenaan, pelantun lagu Asyik itu berkata, anak-anaknya adalah keutamaan dirinya walaupun mempunyai hasrat untuk berkahwin sekali lagi.

“Yang penting anak-anak selesa dengan dirinya. Orang yang ingin bersama saya perlu terima orang sekeliling saya.

“Dia peramah, tidak sombong serta tidak kuat cemburu. Itu antara sikap dia yang buat saya senang dengan dirinya. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” ujarnya.

Sebelum ini, Amelina pernah berkahwin dengan ahli perniagaan bernama Reduan Mahmood pada 1999 namun bercerai pada 2016.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri ‘Nur Athirah, 19, Putera Al’ Affiq, 18, Putera Al’ Asyraff, 17, Puteri Nur’ Asyurah, 15, Putera Al’ Arffa, 13 dan Putera Al’ Amzar, 8.

Single Ada Untukmu merupakan percubaan pertama Amelina menyanyikan lagu bergenre balada selepas lebih 20 tahun menghambakan diri dalam arena seni dangdut.

Ada Untukmu yang diterbitkan Nova Music merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza.

Muzik video Ada Untukmu yang turut menampilkan Sham Visa akan dimuat naik di Youtube pada jam 6 petang esok. – KopiPlanet.com

Kerap Diekori Seorang Peminat Wanita, Nichkhun 2PM Fail Perintah Larangan Mendekati

Risau dengan keselamatan diri, ahli kumpulan 2PM, Nichkhun dilapor telah memfailkan satu injuksi perintah larangan mendekati terhadap seorang wanita yang kerap mengekori dirinya.

Semalam telah berlangsung sesi soal balas yang diadakan secara tertutup di Mahkamah Daerah Seoul, Korea Selatan bagi mempertimbangkan permohonan Nichkhun dan wanita tersebut yang dikenali sebagai Kim.

Nichkhun dilaporkan telah memfailkan injuksi tersebut pada 6 April lalu.

Syarikat pengurusan Nichkhun, JYP Entertainment berkata, “Pihak kami sekarang sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kim dan kami tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan artis di bawah naungan kami.”

“Perbuatan mengekori dan mengendap artis kami telah menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kerisauan dan tertekan,” kata wakil syarikat tersebut. – KopiPlanet.com

Lepas Budak Flat & Bangun, Aman RA Bangkit Dengan Semangat Impian

Selepas mencatat kejayaan memberansangkan dengan single-single terdahulu seperti Budak Flat & Bangun, penyanyi rap, Aman RA kini kembali dengan lagu terbaharu, Semangat Impian.

Semangat Impian yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aman RA bertujuan untuk memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat Malaysia agar tidak mudah berputus asa dalam usaha untuk menggapai mimpi serta impian.

Selepas mencipta kejayaan manis dengan memenangi tempat kedua Anugerah Juara Lagu ke-34 menerusi lagu Bangun, Semangat Impian merupakan lagu dedikasi di atas segala penat lelah sepanjang rapper berusia 33 tahun itu menceburi bidang seni.

“Perjalanan saya dalam industri muzik bermula dengan Budak Flat yang mengisahkan tentang diri yang menghadapi kesusahan dan realiti harian tetapi tetap memegang kepada impian untuk berubah nasib.

“Kemudiannya beralih ke Bangun yang memberi rentak yang lebih positif kepada pendengar dalam menyampaikan pesanan motivasi untuk bangun dan berjuang demi memperbaiki hidup.

“Lagu Bangun telah menjadi anthem dan inspirasi kepada ramai dan korus yang agak menarik menjadi bahan nyanyian anak-anak kecil,” kata Aman.

Semangat Impian kini boleh didapati di semua aplikasi penstriman muzik digital dan video muzik rasmi boleh ditonton di saluran AmanRAVEVO di YouTube. – KopiPlanet.com

Elak Kena Banned, Anak Jamal Abdillah Tidak Guna Nama Osama

Terpilih sebagai salah seorang peserta program realiti nyanyian, Big Stage 2020, anak kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tampil dengan nama komersil baharu, Yamani Abdillah.

Menurut pemilik nama lengkap Osama Yamani Jamal Abdillah ini, dia mempunyai sebab kenapa tidak menggunakan nama Osama sebagai nama pengenalannya dalam bidang seni.

“Sebelum ini saya memang gunakan nama Osama Yamani, tetapi bila saya buat video dan letak di laman YouTube, dalam dua tiga hari selepas itu video saya kena ‘banned’ sebab nama Osama.

“Jadi dari situ saya bincang dengan ayah, boleh atau tidak kalau saya letak Abdillah di belakang nama Yamani dan ayah beri keizinan. Lagipun itu merupakan nama ayah saya bukan nama orang lain pun. Tidak timbul isu saya tumpang nama dia.

“Ayah pun beri galakan dan harapannya supaya saya dapat teruskan legasi dia dalam industri walaupun haluan muzik kami berbeza. Jika Jamal Abdillah lebih dikenali sebagai Raja Pop, genre muzik saya pula lebih ke arah rock,” katanya.

> Baca: Ajai, Dayang Nurfaizah Ganti Siti Nurhaliza Jadi Juri Big Stage 2020

Yamani ditemui pada majlis sidang media pengumuman peserta Big Stage 2020 yang berlangsung di The Nicksman, The Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Yamani, 19, bakal bersaing dengan 11 lagi penyanyi iaitu peserta lelaki, Usop, 23, Qody, 26, Hafiz Zainal, 28, Azzam Sham, 23, Fadh Majid, 27, Amir Hasan, 24, dan empat peserta perempuan iaitu Nana Sheme, 25, Hanie Soraya, 26, Sandra Dianne, 26, dan Farisha Iris, 23.

Walaupun sibuk dengan persiapan program tersebut, Yamani berkata dia tidak akan mengabaikan pengajiannya dalam bidang Diploma Muzik di Aswara.

“Sekarang kuliah diadakan secara online dan saya akan bahagikan masa sebaik mungkin. Pensyarah pun bagi galakan tapi mereka juga ada pesan jangan lupa buat tugasan kuliah yang diberikan mereka,” katanya berseloroh.

Juara Big Stage akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga meraih RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi. Persembahan peserta akan diadili tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah.

Big Stage 2020 akan bersiaran langsung bermula 16 Ogos ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Untuk rekod, dua musim Big Stage terdahulu telah menobatkan Sarah Suhairi dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul selaku juara. – KopiPlanet.com

Fattah Amin Sebaris David Beckham, Neymar Bergelar Duta Police

Pelakon Fattah Amin melakar satu lagi pencapaian dalam kerjayanya apabila aktor itu baru-baru ini dilantik sebagai duta untuk jenama cermin mata popular, Police untuk pasaran Malaysia.

Kempen ini memperlihatkan Fattah menggayakan koleksi cermin mata terbaru Police yang bercirikan reka bentuk yang terkenal, diilhamkan dari model paling ikonik jenama itu dan ditafsirkan semula dengan gaya yang selaras dengan trend industri kacamata terkini.

“Fattah Amin adalah pelakon berbakat yang mempamerkan keperibadian yang baik dengan karisma yang tinggi. Dia sentiasa bersemangat, dengan daya tarikan yang menggoda.

“Di De Rigo, kami bersepakat mengatakan ciri-ciri ini akan menentukan hala tuju kacamata jenama Police.” kata Vittorio Trusso, Pengarah Urusan De Rigo Asia Pasifik.

Suami kepada Nur Fazura itu mengikuti jejak langkah duta global Police yang terdahulu seperti Bruce Willis, George Clooney, David Beckham, Antonio Banderas, Neymar Jr dan Lewis Hamilton.

Dalam pada itu, Fattah dalam kenyataan yang sama juga menyatakan ia merupakan satu penghormatan apabila dipilih sebagai duta.

“Sudah tentu ia menjadi suatu penghormatan untuk dipilih sebagai duta untuk kacamata Police, terutama ketika saya membesar dengan mengimpikan reka bentuk mereka.

“Selalu ada sesuatu yang sangat ikonik mengenai koleksi mereka, terutama ketika anda melihat George Clooney atau Bruce Willis menggayakannya”, tambah Fattah Amin.

Dilancarkan pada tahun 1980-an sebagai kacamata jenama Kumpulan De Rigo, Police kini menawarkan pelbagai jenis produk, semuanya diperbuat dari bahan berkualiti tinggi untuk gaya hidup urban. – KopiPlanet.com

BTS Tercalon Dalam Tiga Kategori MTV Video Music Awards 2020

Kumpulan popular K-Pop, BTS baru-baru ini diumumkan tercalon dalam tiga kategori utama majlis anugerah MTV Video Music Awards 2020.

BTS tercalon dalam kategori Best K-Pop Video Music melalui lagu mereka Oh My God yang mana mereka turut bersaing dengan kumpulan Monsta menerusi lagu Someone’s Someone, EXO (Obsession), TXT (9 and Three Quarters (Run Away) dan Red Velvet (Psycho).

Selain itu, BTS turut tercalon dalam Best Pop Video Music yang mana turut disertai Halsey menerusi lagu You Should Be Sad, Jonas Brothers (What A Man Gotta Do), Justin Bieber (Intentions), Lady Gaga (Rain On Me) dan Taylor Swift (Lover).

Kategori ketiga yang memperlihatkan pencalonan BTS ialah Best Choregraphy Video Music, Oh My God berdepan saingan hebat daripada CNCO & Natti Natasha menerusi lagu Honey Boo, DaBaby (Bop), Dua Lipa (Physical), Lady Gaga (Rain On Me) dan Normani (Motivation).

Proses pengundian yang diadakan menerusi atas talian di laman web MTV sudah mula dibuka dan majlis anugerah itu dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Tahun lalu, menerusi majlis yang sama BTS mencatat sejarah memenangi Best Group dan Best K-Pop yang mula kategori itu baharu diperkenalkan pada tahun lalu.

BTS dianggotai tujuh ahli iaitu Jimin, Jungkook, RM, Jin, Suga, J-Hope dan V. – KopiPlanet.com

Mengaku Tinggal Serumah: Kecik Bukan Buka Aib, Cuma Nak Bagi Pengajaran

Bekas vokalis kumpulan Hyper Act dan Kristal, Kecik atau nama sebenarnya, Mohammad Fauzi Kamarudin menyatakan tujuannya membuat pengakuan pernah tinggal serumah dengan bekas teman wanitanya adalah semata-mata untuk memberi pengajaran kepada orang di luar sana agar tidak sesekali melakukan perkara yang dilarang agama.

Mengakui perkara yang dilakukannya dulu adalah disebabkan sikap jahilnya sendiri, Kecik bagaimanapun tidak terasa hati dengan kecaman yang diterima daripada netizen susulan kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Twitter miliknya itu.

“Saya ada baca juga ramai netizen cakap saya seolah buka pekung dan aib sendiri bila buat pengakuan di Twitter tempoh hari. Saya tak boleh nak marahkan mereka sebab memang saya tahu itu salah saya sendiri (pernah tinggal serumah dengan bekas teman wanita).

“Tujuan saya tulis benda itu adalah untuk membersihkan nama saya yang sebelum ini pernah difitnah memukul bekas teman wanita. Selain itu, saya mahu kisah saya dijadikan pengajaran, yang mana mungkin disebabkan dosa silam saya itu, saya kini berada di mana kedudukan saya sekarang,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.

Menurut Kecik, walaupun kini dia hanya bekerja di kampung halamannya di Jitra, Kedah, namun hatinya berasa tenang dan mahu melupakan segala kisah silamnya sepanjang menjalani kehidupan sebagai anak seni di ibu kota.

> Baca: Kecik Dedah Pernah Tinggal Serumah, Kerap Dipukul Fara Salleh

“Saya tidak nafikan sewaktu berhijrah ke Kuala Lumpur ketika di usia awal 20-an menyebabkan saya mudah terpengaruh dengan benda-benda negatif seperti pergi ke kelab malam dan sentiasa melepak dengan kawan-kawan menyebabkan karier seni saya terjejas.

“Selepas merasakan saya tiada ‘luck’ untuk berjaya sebagai seorang penyanyi, hujung tahun lalu saya ambil keputusan untuk balik ke kampung dan mula bekerja kecil-kecil di sini. Saya buat kerja mengecat rumah, mesin rumput dan membantu ayah menoreh getah.

“Alhamdulillah, walaupun bayarannya tidak seberapa namun yang paling penting saya tenang berada di kampung dan kalau pun saya nak buat ‘comeback’ nanti (kembali bergelar penyanyi), saya harap saya tidak lagi mudah terpengaruh dengan benda-benda negatif yang boleh rosakkan karier saya,” ujarnya lagi.

Nama Kecik hangat diperkatakan selepas dia membuat beberapa siri pengakuan bagi menjelaskan dirinya tidak pernah angkat tangan terhadap bekas teman wanitanya, Fara Salleh yang kini dikatakan merupakan individu ketiga yang muncul dalam konflik rumah tangga di antara pengacara dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar dan isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Kecik

Dah Bosan Dilimpahi Kemasyhuran, Zac Efron Nak Hijrah Ke Australia

Pelakon Zac Efron, 33, meluahkan hasrat ingin berhijrah ke Australia kerana mahukan suasana kehidupan yang lebih tenang daripada yang dialaminya sekarang.

Sepanjang tempoh kuarantin akibat pandemik Covid-19, Zac menetap di Byron Bay, Australia dan dia sangat menyenangi persekitaran di situ yang turut menempatkan kediaman rakan pelakon, Chris Hemsworth yang merupakan warganegara Australia.

Sumber terdekat Zac menyatakan dia sedang merancang untuk menjual kediaman mewahnya di Los Angeles kerana sudah penat hidup dalam dunia penuh kemasyhuran di Hollywood.

“Saya kena keluar dari dunia glamor Hollywood, saya sudah puas dan penat. Ia bukan tempat yang sesuai untuk menjalani kehidupan yang tenang dan gembira. Saya sekarang melihat kehidupan daripada sudut pandang yang berbeza daripada dahulu,” katanya.

Zac yang popular dengan seleksi filem seperti High School Musical, Neighbours dan 17 Again mula menempa nama dalam bidang seni lakonan sejak tahun 2002 di kala usianya baharu mencecah 15 tahun. – KopiPlanet.com