FilemReview

Tombiruo: Penunggu Rimba Padat Aksi, Sinematografi Menarik

Sudah pasti peminat setia karya novelis popular Ramlee Awang Murshid dah tak sabar nak menyaksikan filem adaptasi novel Tombiru0: Penunggu Rimba yang bakal menjengah pawagam bermula 12 Oktober ini.

Bagi penulis, filem ini mampu memberikan nafas baharu dalam bidang perfileman daripada segi penceritaan memandangkan ia banyak bermain di kawasan hutan dan pembalakan di Sabah.

Dengan sinematografi yang cantik, Tombiruo dijangka dapat menarik minat penonton agar terus melekat selain penceritaan yang penuh dengan ‘plot twist’nya yang tersendiri.

Tombiruo, filem bergenre aksi drama ini memaparkan kisah Ejim (Zul Ariffin) yang digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Disebabkan sentiasa bertopeng dan tinggal dalam hutan, Ejim disisihkan penduduk kerana memiliki wajah yang cacat dan buruk.

Tinggal di hutan bersama bapa angkatnya, Pondolou (Faizal Hussein) banyak mengajar Ejim seni mempertahankan diri selain dirinya sudah sebati dengan persekitaran hutan yang disifatkan sebagai kawan baiknya sendiri.

Konflik bermula apabila satu kecelakaan menimpa seorang jutawan balak, Tan Sri Berham (Datuk M. Nasir) dan anak perempuannya Salina (Faye Kusairi) sehingga mengorbankan kedua-duanya.

Sedih dan marah dengan kemalangan yang menimpa isterinya, suami Salina, Amiruddin (Farid Kamil) bertekad untuk membawa individu yang bertanggungjawab terhadap insiden terbabit ke muka pihak pengadilan.

Babak pertarungan antara Amiruddin (Farid Kamil) dan Ejim yang dilakonkan oleh Zul Ariffin.

Amiruddin mengganggap Tombiruo adalah punca keperitan hidupnya sekeluarga dan mula menjejaki ‘makhluk bertopeng’ itu sehingga tercetus pergelutan di antara mereka demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Di tengah kemelutan itu, muncul Wan Suraya lakonan Nabila Huda, seorang wartawan penyiaran yang menjadi ‘orang tengah’ di antara Tombiruo dan Amiruddin.

Dari sudut penceritaan, filem ini menonjolkan ‘plot twist’ yang tak dijangka apabila akhirnya orang yang tak disangka-sangka sebenarnya merupakan musuh dalam selimut kepada keluarga Tan Sri Berham.

Di akhir cerita, si pengkhianat tersebut didedahkan selain kisah sebenar asal-usul Tombiruo yang selama ini menjadi misteri sejak dari permulaan cerita lagi.

Semua kemusykilan itu akhirnya terjawab pada pengakhiran cerita ini yang tidak dibiarkan tergantung.

Nabila Huda membawakan watak sebagai seorang wartawan penyiaran dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba.

Walaupun wajahnya langsung tidak dipaparkan namun Zul tetap memberikan lakonan yang memberansangkan selain ketangkasannya bertarung dengan Farid wajar dipuji memandangkan para pelakon hanya berlatih selama lebih kurang empat minggu sebelum penggambaran bermula.

Selain itu emosi sedih Farid yang sangat meruntun jiwa di saat kehilangan insan kesayangannya benar-benar sampai ke hati penulis selain watak Faizal yang walaupun hanya muncul sekejap sahaja pada awal cerita, tapi lakonan yang diberikannya memang cukup ‘superb’ dan berada di kelasnya yang tersendiri.

Jadi, buat peminat setia filem tempatan, jangan lupa temu janji anda untuk menonton Tombiruo: Penunggu Rimba yang bakal memasuki pawagam seluruh negara bermula 12 Oktober ini.

Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan. – KopiPlanet.com

Tajuk: Tombiruo: Penunggu Rimba
Tayangan: 12 Oktober 2017
Durasi: 1 Jam 55 minit
Pengarah: Seth Larney
Pelakon: Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Farah Ahmad, Datuk M.Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar, Artu dan Muhammad Al-Rayyan.
Klasifikasi: P13

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button