• FOLLOW US

Juliana Johar

Diundang Ke Kenduri Kahwin, Zizan Doakan Emma Bahagia

Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak, 36, menyatakan bekas kekasihnya, Emma Maembong ada mengajaknya untuk menghadiri majlis perkahwinannya kelak.

Emma sebelum ini dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujang pada bulan ini.

“Baru-baru ini Emma ada jemput saya tapi saya cakap tengok pada kelapangan jadual saya.

“Dia tanya ‘kalau saya kahwin awak datang tak’. Saya pun tidak tahu bila dia akan berkahwin.

“Saya ucapkan tahniah pada dia, pastikan pasangan itu yang terbaik buatnya.

“Saya tidak kenal siapa bakal suami dia namun saya mendoakan kebahagiaan Emma dan pasangannya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zizan ditemui pada majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat di Nicsman Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Zizan dan Emma sebelum ini pernah menjalinkan hubungan istimewa pada 2014 namun berpisah setahun kemudian.

Ketika ditanya mengenai status dirinya kini, Zizan menjelaskan dia masih solo dan lebih selesa berkawan dengan semua orang pada ketika ini.

“Saya ada terfikir juga soal kahwin tapi bila rezeki kerja datang, saya fokus pada kerja dulu.

“Lagipun ibu saya tidak pernah memaksa saya untuk segera berkahwin, dia tengok saya selesa begini, jadi dia tidak pernah ‘push’.

“Kalau nak berkahwin, yang paling penting bakal isteri saya perlu mendapat restu ibu bapa dan keluarga saya.

“Restu keluarga sangat penting demi keharmonian sesebuah rumah tangga itu.

“Sekarang kalau berbicara tentang bab-bab cinta, hati dan perasaan, saya sudah jadi semakin matang. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, InsyaAllah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zizan bakal tampil dengan filem Bulan & Pria Terhebat pada 12 Mac ini.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Zahirah Macwilson, Maya Karin, Alif Hadi, Sein Qudsi dan Bell Ngasri. – KopiPlanet.com

Nak Buat Kejutan, Zahirah Macwilson Berahsia Tarikh Kahwin

Pelakon Zahirah Macwilson enggan mendedahkan tarikh perkahwinannya dengan tunang, Aiman Hakim Ridza biarpun ada desas-desus mengatakan mereka bakal diijabkabulkan pada 20 Februari ini.

Menurut Zahirah, 25, pihak pengurusannya akan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak media dalam masa terdekat ini.

“Saya tak boleh nak cakap sekarang, tunggulah pada hari itu (majlis nikah) nanti. Itu sahaja yang saya boleh cakap buat masa ini.

“Bukan saya nak berahsia tapi saya suka ada elemen kejutan dan tiada sebarang sidang media khas akan diadakan bagi mengumumkan tarikh nikah.

“Pihak pengurusan akan menghantar jemputan kepada media nanti. Saya tidak buat majlis secara tertutup, saya mengalu-alukan kedatangan media pada hari tersebut,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Bulan & Pria Terhebat yang berlangsung di Nicsman, The Starling Mall, Damansara Utama hari ini.

Sebelum ini, Aiman telah menulis tanda pagar ‘save the date 20 Februari 2020’ seolah memberikan bayangan mereka bakal disatukan pada tarikh cantik itu.

Zahirah berkata, majlis akad nikahnya akan berlangsung di Kuala Lumpur di mana ibu dan adik-adiknya yang menetap di Perth, Australia akan berkampung di sini untuk majlis bahagianya itu nanti.

“Majlis itu nanti akan jadi satu acara yang cukup intim dengan kehadiran insan-insan terapat saya.

“Kalau boleh, saya memang nak jemput semua peminat hadir sama tapi disebabkan kekangan keluasan lokasi majlis, saya tak boleh nak jemput semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon berkenaan juga menyatakan perasaan terujanya untuk memulakan kehidupan baharu sebagai seorang isteri.

“Sudah tentu saya tidak sabar untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupan, i’m excited,” katanya .

Zahirah dan Aiman bertunang pada 8 Jun lalu di kediaman ibu aktres itu di Perth selepas enam bulan menjalinkan hubungan istimewa.

Mereka mula berkenalan pada 2018 sebelum digandingkan bersama dalam drama bersiri Curi-Curi Cinta sebagai pasangan hero dan heroin. – KopiPlanet.com

Ain Edruce Akui Bapa Tidak Gemar Dia Bawa Watak Antagonis

Walaupun mendapat pujian ramai susulan lakonan cemerlangnya dalam drama bersiri Camelia, namun Ain Edruce menyatakan ada seorang individu yang cukup rapat dengannya tidak menggemari watak antagonis yang dilakonnya.

Menurut Ain, 29, bapanya, Edruce Sabri tidak berkenan apabila dia menjayakan watak jahat kerana takut peminat menyangkakan dia sememangnya seorang yang perwatakan negatif seperti yang dipaparkan di kaca televisyen.

“Sebenarnya ayah saya tidak suka saya bawakan watak jahat kerana dia risau penonton akan labelkan saya jahat seperti dalam drama tersebut.

“Apabila dia (ayah) tengok saya berlakon, dia sebut nama penuh saya, tak panggil dengan nama watak yang saya pegang itu, seolah-olah dia terbawa-bawa dengan watak Marina yang dilakonkan saya.

“Disebabkan perkara itu, ayah ada berpesan lepas ini jangan ambil lagi watak-watak jahat. Saya faham niat ayah yang tak nak masyarakat labelkan saya dengan watak antagonis yang dibawakan tapi saya dah ingatkan dia itu adalah karakter semata-mata,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Ain ditemui pada majlis sidang media pengumuman Top 12 Hero Remaja 2020 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada acara itu juga, Ain diumumkan sebagai hos program Hero Remaja 2020 yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula 27 Februari ini.

“Saya anggap program ini sebagai satu cabaran buat saya dalam mengawal diri mengikut format rancangan ini. Saya akan sesuaikan diri dan perlu tahu masa bila saya perlu berperangai gila-gila dan serius,” ujarnya.

Peserta Hero Remaja 2020 akan diadili dua juri tetap iaitu Datuk Hans Isaac dan Scha Al-Yahya. – KopiPlanet.com

AC Mizal Lancar Dua Produk Kecantikan Formulasi Daripada Doktor

Bukan sekadar produk kecantikan biasa, Idealyst Beauty tampil menjadi antara jenama kecantikan yang membina keyakinan pengguna melalui keberkesanan dan kualiti produk yang dihasilkan.

Selaku Pengerusi Idealyst, Datuk AC Mizal berkata dua produk terbaharu keluaran syarikatnya iaitu k1ss Lip Matte dan Wonder Trim menekankan aspek produk yang selamat digunakan oleh para pelanggan mereka.

“k1ss Lip Matte dan Wonder Trim merupakan produk yang diformulasikan daripada doktor bertauliah iaitu Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar bersama isterinya, Dr Fadzlina Md Mohtar yang juga merupakan pengemudi bersama jenama ini.

“Wonder Trim yang merupakan produk makanan tambahan ini selamat untuk diambil dan saya sendiri dah mencubanya. Ia bertujuan untuk mengawal selera makan dan hasilnya, saya turun lima kilogram dalam masa sebulan mencubanya.

“Sebelum jual, saya sendiri menjadi bahan uji kaji untuk melihat keberkesanan produk ini dan bukannya untuk mengejar untung semata-mata,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran k1ss Lip Matte dan Wonder Trim yang diadakan di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Idealyst, Datin Emylia Rosnaida pula berkata dia sendiri telah memilih kelima-lima variasi warna produk penjagaan bibir yang diperkenalkan mereka.

“k1ss Lip Matte yang dihasilkan dalam lima warna berbeza bukan sahaja selamat malah ia telah dilakukan melalui kajian yang dilakukan memastikan produk ini juga mempunyai khasiat yang akan melindungi dan menyihatkan bibir.

“Berharga RM39.90 antara bahan utama yang terdapat dalam k1ss Lip Matte adalah estrak minyak argan, vitamin C dan bee venom yang membuatkan bibir tampil mungil secara semulajadi dan selamat,” katanya.

Antara variasi warna k1ss Lip Matte ialah Envy, Adore, Crush, Desire dan Amour yang sesuai untuk semua jenis tona kulit wanita Asia. – KopiPlanet.com

Syafie Naswip Akui Tidak Serik Jalin Hubungan Cinta Dengan Artis

Pelakon Syafie Naswip mengakui dia sudah melupakan hal kontroversi yang menimpa dirinya dengan bekas tunang, aktres Aishah Azman yang hangat diperkatakan tahun lalu.

Menurut Syafie, 28, dia sudah menutup buku tentang kisah lalu dan mahu melangkah ke hadapan agar kerjayanya berkembang maju. Syafie sebelum ini dikatakan memukul Aishah namun pihak mahkamah telah mengugurkan kes tersebut selepas tiada sebarang tindakan lanjut yang diambil terhadap Syafie berhubung dakwaan tersebut.

“Kalau tanya saya ketika di awal-awal kontroversi, memang saya ada rasa trauma sedikit dengan apa yang berlaku tapi sekarang saya dah okay. Saya tiada rasa marah lagi terhadap apa yang berlaku.

“Kalau saya berjumpa dia (Aishah) di luar, rasanya saya tiada masalah untuk bertegur dengan dia sebab benda dah lepas. Kontroversi itu beri pengajaran agar saya jadi lebih matang dan betulkan diri saya dahulu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi jubah dan telekung Munawwareen 2020 yang berlangsung di St. Mary Place, Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditanya mengenai statusnya sekarang, pelakon yang terkenal dengan filem Mukhsin itu berkata dia masih solo dan lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja buat masa sekarang.

“Setakat ini tiada yang mendekati dan bukan saya tidak terbuka hati (untuk bercinta lagi) tapi saya ‘just go with the flow’. Sekarang saya berkawan sahaja dengan semua orang.

“Saya tidak serik sekiranya ditakdirkan bercinta lagi dengan orang dalam industri. Tak semestinya kalau saya bercinta dengan orang biasa, saya tidak kena macam dulu. Perkara itu semua adalah cabaran buat setiap pasangan bercinta.

“Hidup kita ini ada pasang surutnya dan ia adalah perkara normal sebab setiap orang ada ujian dalam kehidupan mereka.

“Untuk tahun ini, saya nak kisah kerjaya saya lebih menonjol dan diberi perhatian daripada kisah peribadi. Selain itu, saya juga ingin menunaikan impian untuk membawa ibu bapa menunaikan umrah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, koleksi Munawwarreen 2020 telah memperkenalkan seleksi jubah dan telekung yang diperbuat daripada kain kapas berkualiti tinggi yang mampu memberikan keselesaan buat pemakainya.

Pengasasnya, Hajah Aliza Abu Bakar, berkata kehadiran Munawwareen di pasaran adalah untuk menyemarakkan lagi industri fesyen muslimah di negara ini dan pada masa yang sama menggembangkan lagi bakat dan rangkaian perniagaan di kalangan wanita moden Malaysia.

Koleksi Munawwareen 2020 boleh didapati dengan berkunjung ke butiknya di Wangsa Maju atau layari laman web www.munawwareen.com.my. – KopiPlanet.com

Kemenangan AJL 34 Pemangkin Naim Daniel Hasilkan Karya Lebih Baik

Penyanyi Naim Daniel, 23, berazam untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik di masa akan datang sebaik lagu ciptaannya berjaya merangkul juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) yang berlangsung pada malam Ahad lalu.

Menurut Naim, sebagai bintang baharu dalam industri, dia berasa sangat terharu apabila berada sebaris dengan barisan penyanyi dan komposer hebat tanah air.

“Saya merupakan pendatang baharu dalam industri muzik dan dipertanggungjawabkan untuk bertanding dalam AJL34, saya rasa ini merupakan lembaran baharu untuk saya bagi tahun 2020.

“Saya bersyukur dan bangga sebab saya begitu kecil, tapi dapat dikelilingi oleh komposer dan penyanyi hebat. Rasa berbesar hati tapi tak tercapai dek akal sebenarnya.

“Maklumlah kebanyakan yang bertanding adalah alumni AJL yang hebat seperti pernah bergelar juara, pernah dapat vokal terbaik. Ketika berada di atas pentas, saya ambil tekanan yang ada untuk membuat persembahan terbaik.

“Kemenangan ini menjadi pemangkin untuk saya terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sementara itu ketika ditanya mengenai wang kemenangan yang diraih hasil kemenangannya itu, Naim berkata dia ingin menggunakannya untuk menggembirakan hati ibu dan bapanya terlebih dahulu.

AJL 34 menobatkan lagu Sumpah ciptaan Naim dan komposer Omar K sebagai juara, lagu Bangun dendangan Aman Ra sebagai naib juara dan lagu Anta Permana nyanyian Bob Yusof di tempat ketiga.

AJL34 diadili barisan juri profesional dan berpengalaman seperti Ajai selaku ketua juri bersama Datuk Wah Idris, Datuk Mokhzani, Sharon Paul, Aznul Haidi, Helen Yap, Edrie Hashim, Azmeer, Altimet dan Cat Farish. – KopiPlanet.com

Kehilangan Dua Pelawak, AC Mizal ‘Fobia’ Nak Hoskan Program Lawak

Pemergian mengejut Abam Bocey atau Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Redzuan, 32, pada pagi Isnin lalu meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat hos popular, Datuk AC Mizal.

Menurut AC Mizal, kehilangan Abam cukup memeritkan buat dirinya kerana dia sangat rapat dengan Allahyarham yang dianggap seperti adik sendiri.

“Saya seperti rasa dia masih ada sebab saya suka mengusik dia. Keakraban di antara kami dah macam adik-beradik. Saya pun sentiasa tahu masalah adik-adik pelawak saya ini.

“Kini saya sudah kehilangan dua adik yang saya rapat iaitu arwah Yus dan Abam. Kehilangan mereka seakan membuatkan saya ‘fobia’ untuk mengacarakan program lawak sebab yang betul-betul rapat dengan saya dah dijemput ilahi,” katanya.

AC berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Idealyst Biocare yang berlangsung di Flora Terrace, Kuala Lumpur semalam.

Menceritakan kenangannya dengan arwah Abam, AC berkata pelawak berkenaan ada menyatakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada bidang seni lawak.

“Arwah pernah beritahu saya yang dia nak cuba meniaga sebab dah penat buat lawak dan kadangkala dia merasakan orang dah tak hargai lawaknya.

“Selain itu, saya terkilan kerana impian arwah nak buat production house tidak kesampaian. Ketika menziarahi jenazah, saya sampai tak sanggup nak tatap wajahnya sebab terlalu sayangkan arwah. Saya terkejut dengan berita pemergiannya sampaikan ibunya pula yang terpaksa tenangkan saya,” ujarnya.

Sementara itu, Idealyst Biocare telah memperkenalkan dua produk mereka iaitu produk penjagaan bibir, k1ss lip matte dan Wonder Trim yang merupakan produk makanan tambahan.

Menariknya, produk-produk tersebut diformulasikan melalui kajian doktor bertauliah iaitu Dr. Aidil Azry Datuk Mokhtar dan isteri, Dr. Fadzlina Md Mohtar yang juga merupakan pengasas Idealyst Beauty bersama AC dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida. – KopiPlanet.com

Bijak & Kacak Seiring, 12 Jejaka Terpilih Finalis Hero Remaja 2020

Program pencarian Hero Remaja yang banyak melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang pengacaraan, lakonan dan peragaan kini kembali buat kali ke-10 semenjak edisi pertamanya pada tahun 1990.

Menerusi sesi ujibakat yang dilakukan pada hujung bulan Disember lalu, seramai 600 jejaka hadir mencuba nasib namun rezeki akhirnya menjadi milik 12 peserta yang telah diumumkan pada satu majlis sidang media Hero Remaja 2020 yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam.

Editor Pengurusan Majalah Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, kesemua peserta akan dikuarantin selama dua bulan selain pelbagai aktiviti telah dirangka bagi menguji karisma serta kebijaksanaan IQ dan EQ para peserta.

“Untuk edisi kali ini, kami akan kuarantin peserta selama dua bulan dan mereka akan diuji dengan pelbagai ujian dan aktiviti yang telah kami rangka untuk Hero Remaja 2020. Kesemuanya aktiviti itu akan meliputi pelbagai aspek seperti public speaking, fesyen, lakonan dan lain-lain lagi.

“Pihak kami mahu melahirkan seorang Hero Remaja yang ‘all rounder’ selain boleh mewakili suara remaja lain di luar sana. Kalau dilihat di sini kesemua peserta ini bukan hanya bersandarkan kepada rupa semata-mata sebaliknya mereka juga mempunyai pengetahuan yang tinggi yang juga merupakan antara kriteria utama kenapa mereka terpilih,” ujarnya.

12 finalis tersebut ialah Nadhir berusia 24 tahun, Aniq (20), Umar (22), Haziq (23), Azri (24), Hariz (18), Meerqeen (19), Jazmy (22), Imran (21), Tom (23), Jabir (20) dan Azim (23).

Hero Remaja 2020 bakal bersiaran bermula 27 Februari ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Para peserta bakal diadili oleh dua juri tetap iaitu Datuk Hans Isaac dan Scha Al-Yahya.

Ain Edruce dipilih mengemudi program yang akan bersiaran selama lapan episod itu.

Hero Remaja sudah melahirkan ramai alumni-alumni popular mereka seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle, Kamal Adli, Saharul Ridzwan, Ashraf Sinclair, Azhar Sulaiman, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Norman Hakim, Eizlan Yusof dan Zed Zaidi. – KopiPlanet.com

DSV Tuntut Azwan Ali Mohon Maaf Dalam Tempoh 48 Jam

Usahawan Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) memberi tempoh selama 48 jam bermula hari ini untuk Azwan Ali membuat permohonan maaf secara terbuka terhadapnya.

Jika gagal berbuat demikian, Vida menerusi peguamnya, Adnan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Azwan.

“Saya tuntut permohonan maaf dalam masa 48 jam sebelum saya teruskan dengan tindakan undang-undang.

“Apa yang diperkatakan dalam video yang dibuatnya itu sangat biadap dan keterlaluan apabila dia menghina kematian dua anak saya yang meninggal dunia dalam keadaan tragik serta mencerca fizikal Cik B.

“Sebagai manusia biasa, anda rasa saya masih boleh bersabar lagi ke apabila dicerca, dimaki dan dihina sebegitu rupa?” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media kenyataan Datuk Seri Vida Saman Malu terhadap Azwan Ali yang diadakan di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur.

Azwan sebelum ini memuat naik video membakar minyak wangi dan selendang pemberian Vida sambil menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap usahawan tersebut.

Sementara itu, peguam Vida, Adnan Seman berkata tindakan prosiding mahkamah akan diambil sekiranya Azwan tidak melakukan seperti apa yang dituntut oleh anak guamnya.

“Tindakan prosiding mahkamah akan diteruskan jika dia tak turunkan video terbabit dalam tempoh yang diberikan.

“Azwan juga perlu melakukan permohonan maaf serta beraku janji tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai anak guam saya serta apa yang dikatakannya dalam video tersebut adalah tidak benar.

“Saya menasihati anak guam agar tindakan sebegini perlu dilakukan sebagai proses mendidik masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial untuk mengutuk dan mengunakan kata-kata kesat terhadap mana-mana individu,” katanya.

Isu ini tercetus kerana Azwan dipercayai tidak berpuas hati apabila tidak diberikan sejumlah bayaran oleh Vida ketika dia menghadiri acara festival makanan anjuran usahawan tersebut baru-baru ini.

Menceritakan lanjut mengenai perkara itu, Vida menjelaskan, “Azwan sebenarnya tidak diundang sebagai artis jemputan dan pada awal hanya hadir atas kapasiti peribadi saja.

“Azwan datang ke karnival di Shah Alam sebab nak buat kandungan saluran YouTube miliknya dan setuju tanpa kenakan sebarang bayaran.

“Di Johor Bahru, dia datang kerana nak jadi vendor dan saya berikan gerai bernilai RM2,800 serta berkeras nak naik pentas untuk memeriahkan acara.

“Pekerja saya kata, jika tetap naik pentas tiada bayaran diberikan kerana slot sudah penuh dan dia setuju.

“Alih-alih keesokannya saya tengok dia muat naik video memaki dan mencerca saya sambil membakar produk minyak wangi dan selendang pemberian saya,” jelas Vida.

Sidang media itu turut dihadiri anak Vida, Edlynn Zamilleen Muhammad Amin atau Cik B serta Azza Elite dan Roslan Shah selaku pengacara majlis.

Sementara itu, Azwan bersama peguamnya difahamkan akan mengadakan sidang media berkenaan isu yang sama pada keesokan hari di sebuah hotel di Putrajaya. – KopiPlanet.com

“Bukan Bunuh Diri Tapi Simbolik Hati Yang Tersakiti” – Aina Abdul

Penyanyi Aina Abdul memohon maaf sekiranya persembahannya menerusi lagu Sumpah pada pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) disifatkan keterlaluan dan melampaui batas seperti yang diperkatakan ramai pihak.

Menurut Aina, mesej darah yang melatari persembahannya itu hanyalah sebagai simbolik untuk menunjukkan hati seseorang yang terluka dalam perhubungan.

“Saya minta maaf sekiranya mesej yang ingin saya sampaikan ini dilihat melampaui batas atau keterlaluan seperti yang diperkatakan ramai. Saya tak boleh menghalang orang untuk bercakap mengenainya tetapi saya ingin tegaskan di sini isu darah itu bukan bunuh diri, sebaliknya ia sebagai simbolik kepada hati wanita yang terluka.

“Itu metafora yang saya cuba sampaikan seiring dengan lirik lagu Sumpah. Saya juga tidak ada membuat gaya seperti menikam diri sendiri, tetapi ia hanya gaya dan habit saya untuk menggayakan tangan sedemikian ketika melontarkan suara untuk menyanyi. Saya tidak akan guna isu bunuh diri dan tidak mungkin saya gunakan pentas AJL untuk buat sesuatu perkara yang salah,” jelasnya.

Aina ditemui pada majlis sidang media sebaik berakhir Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Ahad.

Menurut penyanyi berusia 27 tahun itu, busana putih yang digayakannya itu mengambil inspirasi gaun putih Lady Gaga yang pernah dikenakan oleh penyanyi antarabangsa itu beberapa tahun lalu.

“Gaun putih yang saya pakai diambil inspirasi daripada baju yang pernah digayakan Lady Gaga menerusi acara Met Gala sebelum ini. Saya dan pasukan saya memikirkan cara untuk ‘feel’ lagu ini sampai kepada penonton dan disebabkan itu kami ambil tema darah sebagai perlambangan kepada hati yang terluka.

“Saya tidak kisah sekiranya video muzik persembahan saya di pentas AJL disekat pihak Youtube sebab bagi saya dah masuk final ini pun dah cukup bersyukur. Mungkin selepas ini kalau buat persembahan saya perlu letak disclaimer (penafian) siap-siap agar orang tidak terkeliru dengan konsep persembahan yang saya bawakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak berkata pihak penerbitan AJL 34 sentiasa mengambil tahu mengenai konsep yang diketengahkan barisan finalis.

Namun, kadang kala terdapat sesetengah penyanyi yang menyelitkan gimik-gimik tertentu pada saat akhir, yang mana tidak ditunjukkan pada sesi latihan penuh yang diadakan sehari sebelum majlis anugerah itu berlangsung.

“Pihak penerbitan memang sentiasa mengambil tahu mengenai konsep dan penceritaan yang ingin dibawakan setiap finalis. Namun begitu, ada juga sesetengah finalis yang membuat gimik pada saat-saat terakhir yang pihak penerbitan tidak tahu. Sepatutnya mereka perlu beritahu kepada kami.

“Pada sesi raptai penuh, mereka simpan gimik itu dan tidak tunjukkan sehingga pada hari berlangsungnya AJL. Perkara ini di luar kawalan kami memandangkan ia adalah siaran secara langsung. Kami akan panggil Aina untuk mendengar penjelasannya dahulu sebelum menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.

Johan turut berkata video persembahan Aina jugak mungkin akan disekat pihak Youtube buat sementara waktu disebabkan isu yang dibangkitkan ini.

AJL 34 menyaksikan lagu dendangan dan ciptaan Naim Daniel merangkul juara, manakala Bangun nyanyian Aman Ra dan Anta Permana oleh Bob Yusof meraih tempat kedua dan ketiga. – KopiPlanet.com