KolumnisKongsi

Impak Kewujudan Pawagam Patuh Syariah Pertama Di Malaysia

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Pada tahun 2017, saya pernah menulis mengenai hasrat sebuah syarikat pengusaha bebas pawagam untuk membuka satu rangkaian baru pawagam bermula di Kelantan.Pada ketika itu, kecoh satu negara tentang pandangan beberapa pihak termasuk ahli politik yang menentang pembinaan pawagam di negeri serambi Mekah itu dengan pelbagai rumusan dan andaian positif dan juga negatif.

Akhirnya hingga ke hari ini, impian untuk mewujudkan pawagam di Kelantan masih belum menjadi kenyataan hingga ke hari ini.

Lanjutan dari itu, saya mengupas dari sudut pandangan budaya bagaimana idea itu mampu menjadi satu realiti jika kita sepakat melihat pawagam ini sebagai dewan kuliah hiburan dan bukan hanya premis hiburan semata-mata.

Konteks ini harus di lihat secara ilmiah dan mungkin pandangan ini menjadi satu pandangan akademik untuk memahami peranan pawagam dalam era digital maklumat ini.

Yang menjadi perbalahan utama ketika itu ialah syarat dan ketetapan yang dikenakan oleh kerajaan Kelantan yang mensyaratkan operasi pawagam berbeza dengan operasi konvensional ketika ini.

Antaranya ialah penekatan aspek agama dengan pengasingan kerusi penonton lelaki dan perempuan, lampu pawagam yang dihidupkan ketika sesi tayangan, kawalan pada poster filem yang harus tidak keterlaluan, larangan tayangan pada waktu-waktu tertentu dan sebagainya.

Mungkin ada orang melihat ini adalah perkara yang mustahil dan sangat bertentangan dengan budaya pawagam itu sendiri yang mempunyai ‘DNA’ hiburan, namun saya melihat sebaliknya.

> Baca: Filem Jebat Ubati Kerinduan Peminat-Peminat Drama Bersiri BKATC

Dalam penulisan saya ketika itu yang bertajuk Pawagam Di Kelantan: Pawagam Patuh Syariah Pertama Di Malaysia menyentuh soal penerimaan masyarakat terhadap budaya pawagam baru dan harus disokong.

Ini bermakna jika masyarakat mereka menerima budaya itu dan menjadi norma dalam menonton filem, idea ini harus dikembangkan.

Apakah kita sedar bahawa jika kita membuat perbandingan pawagam kita di Malaysia secara umumnya berbanding negara-negara lain mempunyai banyak perbezaan dari segi konsep dan perkhidmatan?

Ini menunjukkan bahawa budaya pembinaan dan operasinya harus sinonim dengan masyarakat di sekelilingnya. Apa yang penting kita fikirkan ialah prasarana pawagam ini dapat dikembangkan maka karya-karya kita juga dapat dimajukan kepada masyarakat.

Oleh itu, berita yang saya terima tentang beberapa rangkaian di negeri Terengganu yang akur dengan saranan dan ketetapan kerajaan negeri untuk membuat perlaksanaan seperti pengasingan kerusi penonton lelaki dan perempuan harus dilihat sebagai satu norma positif dan boleh diperkemaskan.

Ini bukan sesuatu yang luar biasa tetapi lebih kepada satu proses di mana pembudayaan pawagam dengan masyarakat dapat dilaksanakan berpandukan kepada kehendak masyarakat di sekelilingnya.

Dan tidak mustahil, atas sokongan masyarakat, pawagam di Terengganu mampu menjadi model pertama kepada pawagam patuh syariah pertama di Malaysia. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button