
Komited Dengan Kerja, Shaheizy Sam Pernah ‘Ingkar’ Arahan Doktor
Pelakon berkaliber, Shaheizy Sam mengakui dia merupakan seorang individu yang sangat komited dengan kerjanya yang dilakukannya.
Menurut Sam, dia pernah menolak cadangan daripada doktor agar dia merehatkan diri sebentar selepas dirinya mengalami masalah kekurangan air dalam badan pada hujung tahun lalu.
“Saya ada amalkan diet selama dua bulan dan saya tersalah susun atur penjagaan makanan dan minuman sehingga menyebabkan badan jadi kurang air. Ketika itu, waktu makan saya tak menentu dan ada satu masa saya boleh bertahan tanpa minum air beberapa hari.
“Sehari sebelum saya kembali ke set untuk menghabiskan baki penggambaran, saya pergi ke gimnasium untuk berlari dan buat senaman kecergasan sebab dapat rasa badan tak bersedia lagi untuk penggambaran. Nak jadikan cerita, tempat itu tidak disediakan ruang udara yang secukupnya sehingga kaki saya jadi kebas dan sukar bernafas.
“Bila dah jadi macam itu, saya terus hubungi kru produksi dan Zizan. Mereka datang dan tengok muka saya macam mayat sebab dah pucat teruk. Terus mereka segera bawa saya ke hospital,” katanya.
Sam berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Polis Evo 2 yang diadakan di Gasket Alley, Petaling Jaya semalam.
Sebelum ini, pelakon berusia 36 tahun itu pernah dimasukkan ke hospital akibat mengamalkan diet yang salah sehingga menyebabkan tubuhnya kekurangan air dalam badan.
Susulan kejadian itu, doktor menasihatinya agar berehat lebih lama di hospital namun demi komitmen kerjanya yang hanya berbaki beberapa hari lagi, aktor itu meminta dirinya diberi pelepasan keluar wad secepat mungkin.
“Doktor suruh saya berehat lama sikit tapi memikirkan saya ada lagi penggambaran yang perlu dijalankan pada keesokan hari, saya minta juga kebenaran doktor untuk keluar dari hospital secepat yang mungkin,” ujarnya lagi.
Demi merealisasikan wataknya sebagai Inspektor Khai, Sam turut mengakui dia telah mengosongkan jadual kerjanya selama 15 bulan bagi memberikan sepenuh fokus dan tumpuan terhadap filem sequel itu.
“Saya siapkan diri selama 15 bulan untuk Polis Evo 2 dan memang saya kosongkan jadual untuk fokus dengan penggambaran filem ini.
“Nak kata saya dibayar mahal sebab itu sanggup tolak job lain, tak juga. Sebaliknya, saya lebih suka buat sesuatu kerja itu dengan beri sepenuh tumpuan agar saya dapat berikan mutu lakonan yang terbaik,” katanya lagi.
Polis Evo 2 yang turut dibintangi Zizan Razak, Raline Shah, Erra Fazira, Hasnul Rahmat dan Hairul Azreen ini akan mula ditayangkan pada 22 November depan. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Shaheizy Sam



