• FOLLOW US

4 Bulan Bercinta, Demi Lovato Kini Bergelar Tunangan Max Ehrich

Setelah lebih empat bulan bercinta, penyanyi Demi Lovato akhirnya mendedahkan dia kini sudah bergelar tunangan kepada pelakon Max Ehrich, 29.

Penyanyi itu berkongsikan khabar gembira itu di laman Instagramnya semalam.

Demi yang popular dengan lagu This Is Me itu dilamar di Pantai Malibu, California, Amerika Syarikat dan selebriti berusia 28 tahun itu turut berkongsikan gambar cincin pertunangannya.

“Saya mencintai awak pada saat pertama saya bertemu awak. Ia sesuatu yang tidak dapat saya jelaskan kepada sesiapa tetapi nasib baik awak juga faham, saya tak pernah rasa disayangi seperti ini sepanjang hidup.

“Awak tidak pernah mendesak saya untuk menjadi seseorang yang bukan diri saya. Awak juga buat saya mahu menjadi diri saya yang terbaik,” tulisnya.

Demi sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan Joe Jonas dan Wilmer Valderrama. – KopiPlanet.com

Tertekan Dengan Kehidupan Sendiri Jadi Inspirasi Black Hasilkan Sabar

Hampir beberapa tahun ‘kering’ dengan lagu baharu, kini penyanyi Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md Hanafiah, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Sabar.

Sabar yang merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Black telah dihasilkan sejak empat tahun lalu dan ia diinspirasikan daripada kisah hidup penyanyi itu sendiri.

“Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.

“Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklumbalas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini.

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya.

Menurut Black, Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui samada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya.

“Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

“Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya.

“Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing,” katanya.

Single Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer bermula hari ini. Muzik video Sabar juga sudah boleh ditonton menerusi saluran Youtube Nova Music. – KopiPlanet.com

Hasil 10 Tahun Menyimpan, Achey Berjaya Beli Rumah Tiga Tingkat

Bukan senang untuk senang. Setelah hampir 10 tahun menabung, pelawak Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, akhirnya berjaya memiliki rumah idamannya yang terletak di Bukit Saujana, Sungai Buloh, Selangor.

Menurut pelawak tersebut, dia dan keluarga akan berpindah ke kediaman baharu tiga tingkat itu selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti sebaik sahaja rumahnya siap direnovasi.

“Rumah itu dibeli hasil wang simpanan dan saya jual empat buah motosikal. Bukan beli tunai, masih lagi hutang bank! Alhamdulillah, 10 tahun impian saya tercapai nak memiliki rumah itu.

“Sekarang dalam proses ubahsuai dan saya dan keluarga akan pindah masuk dijangka selepas Raya Haji nanti.

“Berapa harga rumah biarlah rahsia tapi biasa-biasa sahaja, yang penting ia lengkap dan selesa untuk kami sekeluarga,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran produk pewangi kereta Sugar Bomb X Achey yang berlangsung di Ruang, Shah Alam semalam.

Sebelum ini, Achey ada memuat naik sekeping foto di laman Instagram memberikan bayangan dekorasi lampu chandelier di kediaman baharunya itu.

Menurutnya, 10 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuknya fokus mengumpul duit yang mana banyak pengorbanan yang perlu dilakukan seperti menjual barang yang bukan keperluan buat dirinya.

“Menyimpan untuk masa depan, setiap perkara yang kita buat mesti ada target. Walaupun 10 tahun..ASB, motosikal dan beberapa kehendak yang kami ada kami cairkan untuk renovasi (rumah baharu). Tinggalkan keperluan dalam hidup dan untuk pekerjaan,” ujar Achey yang memulakan kerjaya seni menerusi program pencarian pelawak, Bintang Mencari Bintang.

Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahya mendirikan rumah tanga sejak sembilan tahun lalu dan mengambil anak angkat, Nur Tiara Zinnirah pada tahun 2018.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasinya dengan Sugar Bomb, Achey mengeluarkan lima pewangi kereta pelbagai variasi termasuk berbau Timur Tengah, Medinna yang kini semakin mendapat perhatian terutama daripada peminatnya di Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian produk itu turut dihadiri Pengurus Besar Sugar Bomb, Kanumbu Agussalim dan Nabil Ahmad. – KopiPlanet.com

Selepas 4 Tahun, Peminat Teruja One Direction Kembali Aktif Instagram

Selepas hampir empat tahun tidak memuat naik sebarang hantaran (posting) di laman Instagram rasmi mereka, kumpulan One Direction kini tampil dengan posting pertama mereka untuk tahun ini.

Posting itu dimuat naik sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan One Direction yang cukup menjadi kegilaan anak gadis seluruh dunia sejak sedekad lalu.

Foto itu setakat ini telah menerima lebih daripada 5 juta tanda suka (like) daripada peminat kumpulan yang berasal dari United Kingdom itu.

Peminat merasakan posting itu seakan memberi bayangan bahawa One Direction bakal tampil dengan album terbaharu bagi mengubati kerinduan peminat mereka.

One Direction yang dianggotai Liam Payne, Harry Styles, Louis Tomlinson, Niall Horan dan Zayn Malik ditubuhkan pada 2010 selepas mereka menyertai rancangan realiti tv, The X Factor.

Kemasyhuran mereka bermula dengan kejayaan single pertama, What Makes You Beautiful disusuli dengan lagu-lagu lain seperti Story of My Life, Best Song Ever dan One Thing.

Momentum kumpulan itu terganggu sebentar pada 2015 apabila Zayn mengambil keputusan untuk menarik diri dengan meneruskan karier solo.

Setahun selepas itu, keempat-empat ahli yang tinggal sepakat untuk berehat sebentar daripada One Direction untuk menggembangkan kerjaya solo masing-masing mengikut acuan genre muzik yang digemari mereka secara individual. – KopiPlanet.com

Mas Khan Kini Bercinta Dengan Kakak Ipar Marion Caunter?

Pelakon Mas Khan ada berkongsikan gambar terbaharunya dengan seorang wanita ketika mereka bercuti di sebuah pulau peranginan tanah air, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian itu, wanita yang dilihat berada dalam foto mesranya itu ialah usahawan, Diana Nasimuddin yang juga merupakan kakak ipar kepada selebriti Marion Caunter.

Diana merupakan anak kepada tokoh korporat automotif, Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Utama Sheikh Mohammad Nasimuddin Kamal.

View this post on Instagram

Happy Birthday Nur Diana Nasimuddin 🌻

A post shared by Mas Khan (@maskhan_) on

Menerusi foto itu, Mas Khan mengucapkan selamat ulang tahun kelahirannya kepada Diana yang juga merupakan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata.

Walau bagaimanapun, Mas Khan atau nama sebenarnya, Mas Hidzhir Khan Mas Fadzillah Khan, 26, menutup ruangan komen gambar yang meraih lebih daripada 10,000 tanda suka (like) itu.

Aktor itu sebelum ini tidak berselindung mendedahkan hubungan cintanya dengan finalis Dewi Remaja, Fazreen Fazera putus di tengah jalan pada Julai tahun lalu. – KopiPlanet.com

Peminat Kutuk Kek Kolaborasi BTS Dengan Baskin Robbins

Baskin Robbins Korea baru-baru ini memperkenalkan menu kek terbaharu mereka kolaborasi dengan kumpulan terkenal BTS.

Kek berbentuk nombor 7 itu mengandungi tujuh perisa ais krim berlainan yang diberi nama BTS 7 Cake. Walau bagaimanapun, rekaan kek itu yang kelihatan terlalu biasa telah mendapat kritikan daripada peminat setia BTS.

Peminat BTS yang digelar Army mengatakan mereka berharap Baskin Robbins mengeluarkan satu perisa ais krim baharu yang dicipta khas sempena kolaborasi tersebut di sebalik rekaan biasa kek tersebut.

“Saya ingatkan kolaborasi kek BTS akan jadi lebih istimewa daripada ini. Kek ini tiada satu pun yang istimewa, harganya juga sangat mahal.

“Saya tidak akan beli kek ini,” itu sebahagian komen-komen Army yang dipetik menerusi laman sosial.

BTS 7 Cake dijual pada harga 26,000 won (RM93) sebiji. Rangkaian ais krim popular itu turut menjual lampu mini BTS yang dijual berasingan pada harga 3,900 won (RM14).

Kumpulan yang mencipta fenomena di seluruh dunia dianggotai oleh tujuh ahli kumpulan iaitu Jimin, Jungkook, RM, Suga, J-Hope, V dan Jin.

Mereka cukup terkenal dengan lagu Fake Love dan Boy With Luv. – KopiPlanet.com

Maya Karin Dinobatkan Aktres Terbaik Festival Filem Antarabangsa Ramsgate

Pelakon Maya Karin menerima pengiktirafan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Ramsgate International Film & TV Festival yang berlangsung pada 11 hingga 14 Jun lalu.

Pengiktirafan tersebut diraih selebriti kacukan Melayu-Jerman itu menerusi lakonannya dalam filem Olympic Dream yang turut tersenarai sebagai Filem Pilihan Rasmi festival tersebut.

“Saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri Ramsgate International Film & TV Festival di atas pengiktirafan yang tidak saya jangkakan langsung ini. Mungkin apa yang saya cuba sampaikan dalam filem ini memberi impak kepada juri dan penonton.

“Sejak pertama kali menerima skrip filem ini ia sudah pun memberi kesan secara peribadi kepada saya. Walaupun tiada nama besar di dalam filem ini, saya bersetuju untuk membintanginya kerana tertarik dengan watak Makcik Fatimah.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah dan pihak produksi yang memberi peluang untuk saya berkarya dan ruang untuk saya mendalami watak ini mengikut cara saya tersendiri. Dengan pengiktirafan ini, saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang saya bintangi,” katanya menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusannya.

Ramsgate International Film & TV Festival merupakan sebuah festival filem yang berpusat di bandar pesisir Ramsgate, England. Festival ini memberi platform kepada pembuat filem bebas dari UK dan antarabangsa untuk berkongsi karya baru kepada orang ramai, pengedar serta memupuk bakat baharu.

Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2017, Ramsgate International Film & TV Festival telah menerima penyertaan dari seluruh dunia termasuk Australia, Brazil, Iran, Martinique, Filipina, Afrika Selatan dan Taiwan serta negara-negara Eropah dan benua Amerika Utara.

Olympic Dream merupakan filem terbitan Full Billion Entertainment Sdn Bhd sebuah syarikat produksi tempatan yang berpusat di Pulau Pinang. Filem arahan sutradara Don Hoe ini menyaksikan Maya memegang watak sebagai Makcik Fatimah menjadi pendorong kepada anak yatim di bawah jagaannya, Anna Wong yang mengejar impian untuk menjadi seorang permain badminton negara dan bertanding di kejohanan Olimpik.

Filem ini juga juga pernah merangkul anugerah ‘Best Feature Film’ di Simply Indie Film Festival, ‘Best Feature Film’ di Canadian Cinematography Award dan ‘Best Family Film’ di Kinoduel International Film Festival. – KopiPlanet.com

Nicki Minaj Umum Di Instagram Kini Hamil Anak Pertama

Berita gembira buat peminat Nicki Minaj apabila penyanyi rap itu telah mengumumkan yang dia kini sedang hamil anak pertama.

Perkara itu dikongsikan Nicki menerusi hantaran muat naik di laman Instagramnya yang mana penyanyi Ananconda itu menunjukkan ‘baby bump’ kepada pengikutnya beserta kapsyen, #preggers (hamil).

“Cinta. Perkahwinan. Hamil. Saya sangat teruja dan bersyukur. Terima kasih semua di atas doa semua,” katanya menerusi ruangan caption.

 

View this post on Instagram

 

#Preggers 💛

A post shared by Barbie (@nickiminaj) on

> Baca: Justin Timberlake, Jessica Biel ‘Sembunyi’ Kelahiran Anak Kedua?

Mei lalu, Nicki secara berseloroh mengusik peminatnya dengan mengatakan dia sering muntah-muntah, simptom yang sering dialami wanita hamil.

Nicki berkahwin dengan eksekutif muzik, Kenneth Petty pada Oktober lalu. – KopiPlanet.com

Dah Enam Bulan Berpacaran, Zara Zya Kunci Mulut Identiti Kekasih

Pelakon Zara Zya kini mengambil pendekatan untuk lebih ‘low profile’ tentang hubungan cinta terbaharunya yang semakin mekar sejak berkenalan lebih enam bulan lalu.

Mengakui kini sedang bahagia dengan seorang jejaka yang enggan didedahkan identitinya, Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 35, berkata kekasihnya itu merupakan seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan oleh aktres tersebut.

“Sekarang memang saya tengah mengenali seseorang tetapi untuk saya ceritakan pasal kahwin atau hubungan kami buat setakat ini, biarlah rahsia dahulu. Sekarang saya nak fokus pada perniagaan terlebih dahulu.

“Orang dah tahu yang saya dah berpunya, cukuplah itu pada saya. Saya tak nak jadi macam dulu-dulu, jadi lebih baik saya rahsiakan hubungan baharu ini. Bukan serik tapi sekarang ini saya rasa lebih selesa begini.

“Sejujurnya, sekarang ini bayangan nak kahwin pun belum ada, kalau dah sedia nak kahwin kami akan terus buat, bukan nak sembunyi cuma itulah sekarang tak berani lagi nak cakap,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran miliknya, ZaraZyaCooks di Setia Alam, Selangor semalam.

Bercakap mengenai perniagaannya itu, Zara berkata walaupun ini merupakan pelaburan ketiganya dalam industri food & beverage (F&B), namun ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya.

> Baca: Tampil Sisi Lebih Dewasa, Masya Masyitah Kembali Dengan Hapus

“Sebelum ini saya meniaga tapi tiada asas-asas serta ilmu yang diperlukan untuk memastikan perniagaan itu terus bertahan. Kali ini saya dah persiapkan diri saya.

“Kalau cuti daripada penggambaran, memang saya sendiri akan turun sama-sama membantu melancarkan operasi restoran. Ada masa saya sendiri yang akan masak pesanan daripada pelanggan.

“Dia (teman lelaki) juga sangat menyokong dan memberikan nasihat serta tunjuk ajar dalam bidang ini, antara pesanannya jangan mudah putus asa dan kalau ada yang mengkritik atau cuba menjatuhkan, abaikan sahaja.

“Dia juga turut menyokong karier saya sebagai pelakon, walaupun dia tiada kaitan dalam bidang seni, namun dia terbuka dengan banyak perkara,” ujarnya lagi.

ZaraZyaCooks yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa termasuk sup belut dan nasi goreng kambing bakar beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam.

Bangunan restoran dua tingkat itu turut menyediakan ruang acara, ZaraZya Sky Lounge (ZSL) yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari. – KopiPlanet.com

Tampil Sisi Lebih Dewasa, Masya Masyitah Kembali Dengan Hapus

Setelah hampir dua tahun menyepi, juara Ceria Popstar musim kedua, Masya Masyitah, 20, kini kembali dengan single terbaharu, Hapus yang lebih menonjolkan sisi dewasa penyanyi tersebut.

Istimewanya, Masya kali ini telah tampil dengan imej yang kelihatan lebih edgy. Lagu Hapus dicipta oleh komposer Amy Bong dan Zimi.

“Alhamdulillah tatkala negara masih lagi berada dalam fasa pemulihan wabak COVID-19, Masya diberikan kesempatan untuk tampil dengan single terbaharu kerana sudah lama rasanya Masya tidak keluar dengan apa-apa lagu baharu, dan ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun 2020.

“Hapus mengisahkan tentang percintaan dua insan di mana hubungan yang termeterai sangat indah dan bahagia sehinggalah pada suatu hari lelaki yang dicintainya itu didapati telah curang dengan wanita lain di depan matanya sendiri. Sesuatu yang amat perit untuk dilalui, sejak itu dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut dan cuba menghapuskan segala memori manis mereka bersama,” katanya.

> Baca: Belum Sampai Sehari, Video Muzik BCL Cecah 4.7 Juta Tontonan

Bakal muncul dengan lagu Mandarin tidak lama lagi, penerima anugerah ‘Most Admired Leaders’ di Asia Music Awards 2019 ini turut menambah, “Single ini sebenarnya telah pun dirakamkan pada 18 Februari yang lalu dan pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment terpaksa menangguh rangka pelancaran serta kerja promosi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.”

” Namun begitu, video muzik ‘Hapus’ berjaya dijalankan dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang sewajarnya dan Masya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan tidak sabar untuk berkongsi dengan peminat,” ujar Masya lagi.

Hapus boleh dimuat turun di iTunes, Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Manakala video lirik dan muzik lagu ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com