• FOLLOW US

A.Aida ‘Banned’ Mas Khan Terlibat Produksi Drama & Filem Terbitannya

Penerbit terkenal, Datuk A.Aida menegaskan nama aktor Mas Khan tidak akan tersenarai sebagai pelakon yang akan membintangi drama atau filem terbitan syarikatnya, A. Aida Production selepas ini.

Menurutnya, ini berikutan Mas Khan dipercayai menjadi suspek berhubung kehilangan wang pelaburan penerbit itu yang berjumlah RM200,000, yang dibuat menerusi dua transaksi di luar pengetahuannya.

“Selepas ini, di bawah A.Aida Production takkan ada nama Mas Khan lagi. Untuk filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ini pun saya tidak menjemput dia untuk tujuan promosi. Saya ada enam hero yang lain, tidak akan ada kecacatan kalau dia tiada sekali pun (sesi promosi filem).

“Masa awal pembabitan saya dalam Bitcoin, Mas yang tolong sebab masa itu saya tidak tahu-menahu tentang selok-belok pelaburan jenis ini. Dia suruh melabur, saya terus bagi dia RM200,000,” jelasnya.

A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 50, ditemui pada majlis tayangan media filem terbaharu keluaran syarikatnya, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang berlangsung di MM2, Cineplexes, Mutiara Damansara semalam.

Menurut A.Aida lagi, dia berharap perkara ini menjadi pengajaran kepada orang ramai di luar sana agar tidak sewenang-wenangnya memberikan kepercayaan dengan menyerahkan sejumlah wang yang banyak.

“Saya harapkan dia untuk menguruskannya, tetapi itu la lain pula jadinya. Saya memang tak sangka sebab saya dah anggap dia seperti adik sendiri. Sekarang dia telah didakwa di mahkamah dan tengah menunggu proses perbicaraannya. Inilah sebenarya rasa dikhianati, sampai sekarang saya tidak percaya (kena tipu).

“Biarlah perkara ini dapat menjadi pengajaran untuk semua orang. Duit boleh dicari tapi bila dah hilang kepercayaan itu susah,” katanya lagi.

Sementara itu, filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda bakal ditayangkan mulai 27 Februari ini. Filem arahan Bade Azmi itu dibintangi Nadia Brian, Datuk Fizz Fairuz, Mas Khan, Firman, Amar Asyraf, Dayang Areeda, Octavia Manrose, Raja Azmi, Arash Mohamad, Aishah Atan dan Eyra Hazali.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengangkat tema cerita rakyat yang mengisahkan Cik Siti yang pernah berkahwin sebanyak 99 kali. 99 suaminya mati sehari selepas mereka diijabkabulkan sekali gus menambahkan misteri di kalangan penduduk kampung mengenai kejadian tersebut. – KopiPlanet.com

M4M4 Cecah Kutipan RM2.5 Juta Sejak Ditayangkan 6 Februari Lalu

Memasuki minggu kedua tayangan filem M4M4, naskhah hebat terbitan Da Motion Media itu kini sudah mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM2.5 juta.

Penerbitnya, Datin Norliza Samion berkata, pihaknya berasa teruja dengan sambutan hangat yang diberikan penonton sejak M4M4 mula ditayangkan pada 6 Februari lalu.

“Sudah tentu saya berasa gembira dengan sambutan memberansangkan yang diberikan peminat filem tempatan. Di sebalik kerisauan mengenai Coronavirus, penonton tetap keluar menonton filem ini. Keunikan serta kekuatan jalan cerita M4M4 menjadi penyebab utama mereka turun memberikan sokongan dengan menonton filem ini.

“Penonton yang sudah menonton pun memberikan komen-komen memberansangkan di media sosial masing-masing sekali gus ia membantu mempromosikan lagi filem ini kepada orang ramai di luar sana. Ini membuktikan filem bergenre sebegini turut digemari penonton,” katanya.

Membariskan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef, filem arahan Eyra Rahman itu memaparkan genre horror thriller.

Disebabkan sambutan menggalakkan, pihak penerbitan juga berkata mereka dalam perancangan untuk menerbitkan sequel filem M4M4.

“Kita mungkin boleh olah jalan cerita selepas kisah pembalasan dendam si ibu, itu semua masih dalam perancangan kami untuk menerbitkan M4M4 2,” katanya lagi.

M4M4 memaparkan kisah seorang ibu tunggal yang ingin membalas dendam di atas kematian tragik anak gadisnya yang dirogol sekumpulan samseng.

Bakal memasuki minggu ketiga tayangan mulai esok, filem M4M4 akan terus ditayangkan di 101 pawagam di seluruh negara. – KopiPlanet.com

Aprena Manrose Terkilan Tak Sempat Promosi Jodoh Syaitan Dengan Abam

Pelakon Aprena Manrose meluahkan perasaan terkilan kerana tidak berkesempatan untuk mempromosikan filem Jodoh Syaitan lakonannya bersama Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Menurut Aprena, dia sepatutnya terlibat dalam penggambaran promosi filem tersebut bersama Abam pada Selasa lalu, namun Allah SWT lebih menyayangi pelawak itu yang terlebih dahulu dijemput ke negeri abadi pada pagi Isnin lepas.

“Sampai hari ini saya masih tak percaya Abam pergi buat selamanya. Sememangnya saya peminat group Bocey dari awal lagi, tapi berkesempatan berkenalan dengan Abam sahaja sebab kita shoot sama untuk filem yang akan ditayangkan tak lama lagi. Excited sangat bila tahu nak kena photoshoot dengan Abam untuk promo sebab lama tak jumpa tapi sehari sebelum (photoshoot), Abam dah tiada.

“Sekarang bukan baby (Aprena) sahaja yang nak post pasal Abam, tapi terlalu ramai yang sayangkan Abam. Merata orang bercerita tentang kebaikan Abam dan Abam memang seorang abang yang penyayang. Pemergian Abam sangat memberi kesan, dah tiada lawak-lawak daripada Abam. Allah lebih sayangkan Abam, semoga ditempatkan dengan orang-orang yang beriman,” tulis Aprena di laman Instagramnya.

Abam meninggal dunia selepas dua hari mengalami demam panas. Arwah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Sementara itu, filem Jodoh Syaitan yang menemukan Aprena dan Abam bakal ditayangkan pada 5 Mac depan. Filem bergenre komedi seram itu diarahkan oleh Ismail Bob Hasim. Selain Aprena dan Abam, filem terbitan Da Motion Media itu turut dibintangi Sofi Jikan, Fauziah Nawi, Wan Hanafi Su dan Jay Iswazir.

Jodoh Syaitan mengisahkan Megat yang jatuh cinta pandang pertama dengan wanita pilihan Mak Timah iaitu Mawar dan telah mengahwininya tanpa mengetahui asal usul wanita tersebut adalah pontianak yang dipaku oleh rakan-rakannya. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Aprena Manrose

Ratu Kala Jengking Cabar Nadia Brian Berhadapan Haiwan Berbisa

Mengangkat kisah lagenda mengenai seorang wanita yang berkahwin sebanyak 99 kali, A. Aida Production mempertaruhkan karya terbaharu mereka menerusi filem yang diberi judul Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Kisah legenda ini cukup popular di kalangan penduduk di sekitar daerah Kota Tinggi, Johor yang mana mengenai Cik Siti yang pernah memiliki 99 orang suami dan semuanya mati pada malam pertama.

Pelakon utamanya, Nadia Brian berkata dia tertarik untuk membintangi filem itu kerana keunikan cerita lagenda itu sendiri itu yang membuatkannya teruja terlibat dalam produksi tersebut.

“Apabila mendengar sahaja tajuk filem ini, ia sudah membuatkan saya teruja. Apatah lagi, ia merupakan sebuah kisah mitos rakyat jelata yang sangat terkenal dan menjadi sebutan ramai.

“Bagaimanapun, bukan mudah untuk saya mendalami watak Cik Siti ini. Namun, sepanjang sebulan menjalani penggambaran, saya telah cuba berikan yang terbaik agar berjaya membawakan watak ini dengan berjaya,” katanya.

Selain menampilkan Nadia sebagai teraju utama, filem berkenaan turut menampilkan ramai pelakon lain seperti Amar Ashraf, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali, Octavia Manrose, Eyra Hazali dan penyanyi kelahiran Indonesia iaitu Firman Siagian. Filem arahan Bade Hj. Azmi itu akan memulakan tayangan di pawagam seluruh negara pada 27 Februari ini.

Nadia turut menambah antara cabaran yang perlu dilakonkan dalam filem ini ialah apabila dia perlu mahir bersilat dan berani berhadapan dengan binatang berbisa.

“Sebelum penggambaran saya dah tahu ada babak bersama ular dan kala jengking tetapi ingatkan ia menggunakn teknik CGI. Namun ketika penggambaran, barulah saya diberitahu saya perlu melakonkan sendiri babak dengan binatang-binatang tersebut,” ujarnya yang menyifatkan ia satu pengalaman yang cukup berharga buatnya sepanjang bergelar anak seni.

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ini telah mengambil masa selama 30 hari untuk menyiapkan proses penggambaran di sekitar Sedeli, Johor.

Sinopsis:

Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengisahkan tentang Cik Siti yang mempunyai dua orang sahabat baik iaitu Mawar dan Teratai. Siti bercinta dengan Awang, namun dalam diam rupa-rupanya Mawar juga mencintai Awang. Teratai yang mengetahui pekara tersebut menasihati Mawar agar tidak mengkhianati sahabat baik sendiri.

Kemudian, wajah Cik Siti tiba-tiba diserang penyakit misteri apabila ditumbuhi jerawat batu. Keadaan mukanya sangat teruk sehingga orang kampung memanggilnya hantu dan diasering dihina dan dikeji, malah akhirnya Awang juga meninggalkannya. Cik Siti kecewa lalu berkawan dengan Nadim, pemotong kayu yang menjadi tempatnya mengadu. Mawar telah menghasut Cik Siti supaya pergi ke gunung panti untuk berubat dengan Nenek Kebayan, dengan harapan Awang akan menjadi miliknya.

Cik Siti nekad untuk pergi berubat dengan Nenek Kebayan, meskipun ibunya melarang. Semasa ketiadaan Cik Siti, Nadim yang menjaga ibunya siang dan malam. Terharu dengan kebaikkan Nadim, ibu Cik Siti telah berjanji yang dia akan mengahwinkan Nadim dengan Cik Siti.

Sementara itu, Cik Siti meredah hutan belantara tiga hari tiga malam, sehingga dia berjumpa dengan Nenek Kebayan yang bersetuju mengubati penyakitnya, tetapi dengan syarat Cik Siti tidak boleh menderhaka dan mengecilkan hati ibunya. Sekiranya melanggar pantang, Siti akan menerima akibatnya.

Cik Siti bersetuju dan terus berubat. Dia juga menuntut ilmu kebatinan. Setelah menuntut selama 99 hari, terdapat perubahan pada wajahnya. Mukanya licin dan cantik berseri-seri seperti bulan purnama. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa saksikan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Februari 2020. – KopiPlanet.com

M4M4 Runtun Emosi, Aksi Antagonis Bikin Penonton Geram

Tajuk: M4M4
Tarikh Tayangan: 6 Februari 2020
Durasi: 1 jam 46 minit
Genre: Seram / Thriller
Pengarah: Eyra Rahman
Pelakon: Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.
Klasifikasi: P13

Bila kali terakhir anda menonton filem yang benar-benar membuatkan emosi terganggu sehingga mengalirkan air mata? Filem terbaharu arahan Eyra Rahman ini pastinya mampu meruntun perasaan anda kerana ia mengangkat permasalahan yang cukup dekat dengan kaum wanita.

M4M4 atau maksudnya ‘mati empat, mati empat’ mengisahkan mengenai seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya dalam kematian yang cukup tragis selepas dirogol tiga orang samseng.

Mengangkat isu rogol serta ketabahan seorang ibu tunggal membesarkan anak perempuannya yang semakin meningkat remaja, pengarah cukup bijak menggadunkan jalan cerita secara berperingkat sebelum membawa emosi penonton dengan perasaan sedih, geram dan marah dalam satu naskhah yang sama.

Lakonan Nabila Huda tidak perlu dipersoalkan lagi apabila pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) itu tampil dengan lakonan cemerlang sejajar dengan resumenya sepanjang penglibatannya dalam bidang seni.

Gaya lakonan Nabila sebagai seorang ibu tunggal cukup menyakinkan malah keserasiannya dengan pelakon baharu, Bella Dowanna juga tidak nampak kekok dan janggal. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan wajah kedua-duanya kelihatan agak seiras untuk melakonkan watak ibu dan anak.

Pengarah juga cukup bijak memaparkan watak antagonis yang dilakonkan trio gangster iaitu Kodi Rasheed, Niezam Zaidi dan Ungku Hariz. Watak mereka bukan sekadar tempelan apabila dilihat cukup seimbang sekali gus mengukuhkan jalan cerita yang ingin dipaparkan.

Kodi dan Niezam cukup memberikan jiwa terhadap watak mereka sehinggakan mampu membuatkan penonton ‘meluat’ dengan karakter yang dibawakan oleh kedua-duanya. Lakonan jahat mereka dilihat hidup apabila diselangi dengan dialog-dialog jahat dan nakal yang sinonim dengan individu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

Di pengakhiran cerita, penonton akan dihidangkan dengan plot twist tidak disangka-sangka yang membawa kepada bagaimana insiden rogol itu boleh berlaku selain ‘keazaman’ semangat seorang ibu yang ingin menuntut bela di atas kematian anaknya.

Kesemua babak dalam filem terbitan Da Motion Media ini melalui 100 peratus kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan adegan dilakukan.

Bakal ditayangkan bermula hari ini di 111 pawagam seluruh tanah air termasuk Brunei dan Singapura, M4M4 pastinya membuatkan emosi anda becampur baur antara perasaan sedih, geram dan marah sebaik melangkah keluar dari panggung wayang. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Pengarah Nafi M4M4 Tiru Filem Bollywood Lakonan Sri Devi

Belum pun memulakan tayangan, filem bergenre seram thriller M4M4 dikatakan mempunyai persamaaan jalan cerita dengan filem Bollywood, Mom lakonan mendiang Sri Devi yang diterbitkan pada 2017.

Bagaimanapun, pengarah M4M4, Eyra Rahman tampil memberikan penjelasannya dengan mengatakan filem arahannya itu tidak meniru mana-mana filem yang pernah ditayangkan sebelum ini.

“Ini persoalan yang selalu saya dengar daripada orang di luar sana. Saya ingin katakan di sini M4M4 tidak ada kaitan dengan filem Mom dan saya sendiri tidak pernah tengok filem tersebut. Jadi tidak sepatutnya timbul isu filem M4M4 meniru filem Mom.

“Mungkin ada persamaan daripada segi kisah ibu yang membalas dendam untuk anaknya yang menjadi mangsa rogol. Namun filem M4M4 mengisahkan konflik ibu dan anak kandungnya dan ia berbeza dengan Mom yang saya difahamkan mengenai ibu tiri yang ingin menuntut bela di atas kematian anak tirinya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam gala filem M4M4 di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

M4M4 yang diterbitkan Da Motion Media menampilkan lakonan hebat Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Hazali dan Izzy Reef.

Ia memaparkan kisah seorang ibu tunggal yang ingin membalas dendam di atas kematian tragik anak gadisnya yang dirogol sekumpulan samseng.

M4M4 bakal ditayangkan esok di 111 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Pengarah Zombitopia Tak Kisah Tarikh Tayangan Terpaksa Ditunda

Pengarah filem Zombitopia, MJ Woo menyatakan dia tidak berasa ralat di atas penangguhan tayangan Zombitopia yang sepatutnya menjengah pawagam tempatan mulai 13 Februari ini.

Menurut MJ, dia melihat penangguhan itu daripada sudut yang positif apabila pihak penerbit memperoleh lebih masa untuk lebih giat mempromosikan filem itu kepada penonton.

“Bagi saya penangguhan ini memberikan lebih banyak peluang kepada kami untuk mempromosikan Zombitopia. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik kepada penonton dan peluang ini akan kami gunakan untuk menguar-uarkan filem ini kepada semua.

“Untuk tarikh tayangan baharu, kami masih belum lagi tetapkan namun berkemungkinan besar ia akan ditayangkan dalam bulan Jun atau Julai tahun ini. Apa-apa pun ia belum lagi tetap kerana perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Finas serta perbincangan dengan penerbit terlebih dahulu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zombitopia yang diterbitkan Greenlight Pictures dan Lomo Pictures dibintangi oleh Shaheizy Sam, Bront Palarae, Datin Elvina Mohamad, Sharifah Amani dan Azman Hassan.

Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor empat tahun lalu itu menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Zombitopia mengisahkan tentang sejenis virus yang telah menyerang manusia sehingga mereka yang dijangkiti bertindak ganas pada 15 tahun lalu. Penyebaran virus itu telah menyebabkan dunia menjadi huru-hara dan kecoh sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam. – KopiPlanet.com

SINOPSIS ZOMBITOPIA

Kira-kira 15 tahun yang lalu sejenis virus telah menyerang manusia sehingga mereka yang dijangkiti bertindak ganas. Zidik (Shaheizy Sam) telah terbangun melihat kakaknya menyerang ibunya dan ayahnya telah mengorbankan diri dan Zidik berjaya melarikan diri.

Kemudian Zidik telah dibesarkan di rumah anak-anak yatim dan dikendalikan oleh Kak Lily yang merupakan seorang yang kejam. Zidik berkawan dengan seorang lagi anak yatim piatu iaitu Zooey (Elvina Mohamad). Suatu hari, Zidik diusir dari rumah anak yatim kerana tidak mematuhi arahan Kak Lily dan selepas itu dia tidak pernah lagi melihat Zooey. Setelah dewasa Zidik bekerja dengan Hassan yang membawanya bekerja selepas menemui Zidik yang tinggal di jalanan sahaja.

Sementara itu, Dr. Rahman (Bront Palarae) yang ingin membalas dendam telah menghasilkan sejenis virus zombi baharu untuk membuat dunia kembali ke dalam kekacauan. Zidik dan Hassan terperangkap dalam situasi huru-hara yang berlaku dengan gelombang kedua wabak zombie. – KopiPlanet.com

Niezam Zaidi Seminggu Tak Keluar Rumah Gara-Gara Watak Filem M4M4

Mendapat pujian ramai atas lakonan cemerlangnya menerusi filem M4M4, Niezam Zaidi mendedahkan karakter penagih dadah dan perogol yang dibawakannya bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurut Niezam, meskipun sering ditawarkan watak antagonis, karakternya kali ini cukup mencabar sehinggakan dia tidak keluar daripada rumah selama seminggu bagi menghilangkan secara keseluruhan ‘roh’ watak Remy yang dijayakannya.

“Untuk pegang dan lakonkan watak Remy ini sangat perit. Selepas habis penggambaran hampir seminggu saya tidak keluar rumah. Jujur saya cakap, kita selamat hanya disebabkan agama Islam. Kalau tiada iman, ya Allah saya sampai terbawa-bawa karakter itu dalam kehidupan.

“Apa yang boleh saya katakan, watak ini sangat berat untuk saya, saya jadi ‘lost’ sampai tak tahu apa dah jadi dengan diri saya,” katanya.

Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam gala tayangan filem M4M4 yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Menurut Niezam lagi, gaya rambutnya dalam filem itu juga membuatkan kanak-kanak takut untuk mendekatinya sepanjang dirinya berimej sedemikian untuk penggambaran M4M4.

“Sepanjang saya melakonkan watak itu, saya jarang nak keluar rumah. Tapi bila sekali saya keluar, budak-budak yang nampak saya mereka jadi takut.

“Saya pula suka budak, awalnya saya pelik kenapa mereka nampak takut dengan saya, rupa-rupanya sebab rambut saya begini,” ujarnya berseloroh.

Filem arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Nabila Huda, Kodi Rasheed, Bella Dowanna, Eyra Hazali, Ungku Hariz dan Izzy Reef. M4M4 yang diterbitkan Da Motion Media bakal ditayangkan di 107 pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

M4M4 yang memaparkan genre horror thriller mengangkat plot cerita mengenai ketabahan seorang wanita dalam membalas dendam untuk menuntut keadilan terhadap kematian tragis anak perempuannya. – KopiPlanet.com

Emosi Nabila Huda Pernah Mudah Tersentuh Ketika Berlakon Filem M4M4

Pelakon Nabila Huda mengakui filem horror thriller lakonannya, M4M4 (MAMA) menuntut dirinya untuk bermain dengan emosi yang cukup berat.

Nabila berkata, suaminya menegur perubahan emosinya yang mudah tersentuh sepanjang menjalani penggambaran filem ini tahun lalu.

“Suami pernah tegur emosi saya senang berubah tiba-tiba jadi beremosi bila bercakap dengan dia disebabkan saya terlalu terbawa-bawa watak filem ini ke dalam kehidupan realiti. Watak saya sebagai Aini sememangnya memberi kesan kepada saya.

“Saya pasti filem ini akan membuka mata masyarakat tentang isu rogol yang sering berlaku di luar sana. Saya harap filem ini memberi pengajaran kepada semua. Lagipun saya memang suka berlakon filem yang memperkasakan wanita sebagai subjek utamanya,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem M4M4 yang berlangsung di mmCineplexes eCurve, Damansara semalam.

Filem M4M4 arahan Eyra Rahman ini turut dibintangi Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Eyra Hazali, Niezam Zaidi, Ungku Hariz dan Izzy Reef.

Menceritakan lebih lanjut tentang filem berkenaan, melakonkan watak sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Nabila memberitahu sepanjang penggambaran ini air matanya tumpah pada setiap babak yang dijayakannya.

Ujarnya, dia menangis pada hampir keseluruhan babak dalam filem berkenaan memandangkan jalan ceritanya yang cukup dekat dengan dirinya.

“Saya sendiri merupakan ibu kepada seorang anak perempuan, bayangkan kalaulah kejadian seperti yang dalam filem ini berlaku kepada anak sendiri, memang perit nak terima. Saya dengan Bella Dowanna yang melakonkan watak anak saya dalam filem ini juga sudah ada ‘bonding’ sebelum penggambaran bermula. Jadi, senang nak bawa watak itu bila kita dah ada rasa ‘connected’ antara satu sama lain.

“Memang saya menangis betul-betul dan tidak menggunakan sebarang bantuan untuk menangis seperti titik ‘eye mo’. Kalau saya buat macam itu, memang lakonan itu tidak sampai dan penonton pun tidak akan merasai emosi keperitan seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam keadaan tragis.

“Pengarah juga banyak beri panduan untuk mencorakkan watak yang dibawakan. Bagi saya, dalam setiap filem yang dilakonkan, saya memang akan ikut kehendak pengarah supaya watak saya tidak stereotype dengan watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya.

Filem terbitan Da Motion Pictures ini akan ditayangkan di 107 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei mulai 6 Februari ini.

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-16 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Danny (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan dirogol dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

iflix Tawar Saluran Leklu Secara Percuma, Tayang Filem Terbitan MIG

Saluran televisyen penstriman, iflix mengumumkan kerjasama saluran baharu yang dikenali sebagai Leklu yang akan menawarkan pelbagai koleksi filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) secara percuma buat semua pelanggannya.

Leklu merupakan sebuah platform tonton yang sesuai buat seluruh isi keluarga di mana kandungan yang ditawarkan meliputi kandungan filem-filem terbitan MIG yang merangkumi genre komedi, aksi, romantik dan seram.

Peminat filem bergenre aksi komedi boleh menikmati filem Adnan Sempit, Adnan Sempit 3, Bro Nampak Motor Gua dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, peminat filem bergenre seram juga boleh menonton lakonan pelakon kegemaran mereka dalam filem pecah panggung Jangan Pandang Belakang dan Jangan Pandang Belakang Congkak yang pernah mencipta fenomena tersendiri pada suatu masa dahulu.

Selain itu, saluran Leklu di iflix turut menawarkan filem bergenre romantik komedi seperti Isteri Untuk Dijual, lakonan Nora Danish dan Kamal Adli serta pelbagai lagi filem yang menarik dan boleh ditonton secara percuma.

Pelanggan iflix juga boleh menyemak lebih banyak program menarik yang ada di iflix seperti Tonton dari TV3, K-flix dan iflix Originals sepanjang tahun juga secara percuma. Aplikasi iflix boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple Store. – KopiPlanet.com