• FOLLOW US

Shukri Yahaya Mahu Fokus Berlakon, Belum Sedia Ceburi Bidang Perniagaan

Pelakon Shukri Yahaya menyatakan buat masa ini dirinya mahu lebih fokus kepada bidang lakonan dan belum bersedia lagi untuk menceburi bidang perniagaan seperti segelintir artis.

Shukri berkata, sesuatu perkara yang ingin dilakukan itu perlulah seiring dengan minat supaya apa yang diusahakan itu tidak menemui kegagalan.

“Bagi saya kalau hendak memulakan perniagaan ini perlulah ada minat. Kalau tidak, pastinya ia akan mendatangkan kerugian di kemudian hari.

“Sekiranya ada perancangan untuk berniaga pada masa hadapan, mungkin perniagaan yang diusahakan itu ada kaitan dengan dunia seni, misalnya menjadi seorang penerbit,” ujarnya.

Shukri berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran pembukaan Bubble Bee Malaysia cawangan Setapak baru-baru ini.

> Baca: Sharnaaz Ahmad Sudah Bersedia Dengan Keputusan Mahkamah

Dalam pada itu, pelakon berkenaan menyatakan pendapatannya turut terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

Ujarnya, sepanjang tempoh PKP tiada sebarang aktiviti lakonan yang dibenarkan dan dia lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Tiada apa yang boleh dilakukan sepanjang tempoh berkenaan dan saya pula tiada perniagaan. Jadi, saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri perbelanjaan.

“Bagaimanapun, kini saya berasa lega kerana aktiviti lakonan boleh dimulakan semula. Kalau tidak, ia pastinya menjejaskan kewangan saya,” ujarnya.

Jelasnya, kini dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 bersama Siti Saleha. – KopiPlanet.com

Diajak Lakukan Hubungan Intim, Fizo Omar Ditawarkan RM25,000

Pelakon popular Fizo Omar mendedahkan dirinya telah ditawarkan wang sebanyak RM25,000 untuk melakukan hubungan intim bagi tempoh satu malam.

Menurut perkongsiannya di laman Instagram miliknya, pelakon itu menyatakan bahawa ia merupakan satu cara oleh individu tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

“Wow dapat job! RM 25 000 satu malam. Btw, I’m pretty sure this is scammer, tapi bukan 1st time saya dapat DM macam via IG, kadang tu pikir jugak ape point dieorng ni ek? Ada tu siap minta no acc nak transfer dulu then baru jumpa depan-depan.

“Barang recond macam saya ni pun ada harga, kalau yang brand new and ladies pulak tak tau la berapa kan? Sounds wierd kan guys? Tapi benda ni wujud in real life, bukan dalam drama je. Sometime what happen in drama is actually trying to describe what is happen in real life,” ujarnya.

Fizo Omar RM25,000

Dalam pada itu, rata-rata yang memberi komen juga turut berkongsi mengenai situasi yang sama seperti apa yang dilalui oleh pelakon berkenaan.

Malah, terdapat juga segelintir yang turut mengecam tindakan scammer berkenaan yang menggunakan gambar orang lain untuk tujuan penipuan. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Fizo Omar

Bosan Duduk Rumah, Nabila Huda Buka Kedai Pakaian Preloved

Tidak betah untuk duduk sahaja di rumah, pelakon Nabila Huda kini membuka perniagaan menjual barangan preloved miliknya di Rasta Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Menurut Nabila, dia yang sudah terbiasa bekerja merasakan perlu mencari alternatif lain daripada ‘bermalasan’ tanpa berbuat apa di rumah.

“Sebenarnya saya dah sewa kedai ini sejak sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi, cuma ia baharu sahaja dibuka selepas PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dilaksanakan baru-baru ini.

“Sekarang baharu saya ada masa untuk set-up betul-betul kedai ini, tambah dekorasi apa yang patut. Saya buat bisnes ini sekadar untuk suka-suka sebab saya dah biasa bekerja, bila kita tidak bekerja boleh jadi emosional.

“Jadi, saya tak nak ada unsur-unsur negatif sebegitu dalam diri saya, jadi saya usahakan sesuatu untuk fulfilled aktiviti seharian saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui di kedai jualannya, baru-baru ini.

Ujarnya, antara barangan yang boleh didapati di kedainya ialah koleksi pakaian, kasut dan beg dan kesemua merupakan koleksi barangan peribadinya.

“Semua adalah barangan peribadi saya, koleksi jaket denim vintage yang merupakan kesayangan saya pun saya jual untuk kongsi dengan peminat.

“Buat masa ini saya sentiasa ada di kedai kerana buat masa ini saya berehat sebentar daripada berlakon,” katanya yang meletakkan harga serendah daripada RM5 sehingga RM150 untuk barangan jualannya. – KopiPlanet.com

Kristen Stewart Bakal Jayakan Watak Puteri Diana Menerusi Filem Spencer

Pelakon Kristen Stewart telah dipilih untuk menggalas watak sebagai Puteri Diana menerusi filem Spencer yang dijadualkan memulakan penggambaran awal tahun hadapan.

Filem itu akan memaparkan realiti kehidupan Diana atau nama sebenarnya, Diana Frances Spencer selepas dia mengalami masalah keretakan rumah tangga dengan kerabat diraja British, Putera Charles.

Pengarahnya, Pablo Larrain berkata pemilihan bintang filem Twilight itu adalah tepat kerana Kristen merupakan antara aktres muda yang bijak mempelbagaikan watak yang diamanahkan kepadanya.

“Untuk menjayakan watak Puteri Diana, anda memerlukan seorang pelakon yang berbakat. Saya dapat lihat ciri-ciri itu daripada Kristen.

“Dia seorang yang misteri malah pernah menjayakan pelbagai watak wanita yang lemah namun tetap mempunyai kekuatan dalaman dalam dirinya. Itu yang jadi penyebab kenapa saya memilih Kristen,” katanya.

Pablo turut menambah, filem berlatar belakangkan zaman 90-an itu nanti tidak akan memaparkan kematian tragik yang berlaku terhadap puteri kesayangan ramai itu.

Spencer akan menyajikan konflik rumah tangga Diana dan Charles serta kehidupan peribadi mendiang bersama dua anak lelakinya, Putera William dan Putera Harry.

Diana berkahwin dengan Charles pada 29 Julai 1981 namun disahkan bercerai pada 28 Ogos 1996.

Diana meninggal dunia akibat nahas jalan raya di Paris, Perancis pada 31 Ogos 1997. Turut maut ialah teman lelakinya, Dodi Al-Fayed. – KopiPlanet.com

Song Joong-Ki Nafi Gosip Jalin Hubungan Cinta Dengan Peguam

Agensi pengurusan aktor Song Joong-Ki, History D&C menafikan khabar angin mendakwa pelakon itu kini sedang bercinta dengan seorang peguam.

Gosip itu disebarkan menerusi saluran Youtube Hover Lab yang turut mendedahkan identiti peguam tersebut.

Agensi pengurusan terbabit kesal dengan penyebaran khabar angin itu selain bersimpati dengan peguam itu yang terpalit dengan gosip yang sama sekali tidak benar.

Menurut History D&C, pihak mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya gosip itu masih lagi diperkatakan.

Peguam terbabit dikatakan terlibat menguruskan kes penceraian Joong-Ki dengan bekas isterinya, Song Hye Kyo.

Joong-Ki dan Hye Kyo bercerai pada Julai tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 31 Oktober 2017. – KopiPlanet.com

Hamil Anak Kedua, Mawar Rashid Alami Alahan Teruk

Pelakon Mawar Rashid mengumumkan sedang hamil anak kedua menerusi laman Instagramnya.

Menurut isteri kepada Raf Yaakob ini, dia mengalami alahan teruk pada kali ini jika dibandingkan ketika mengandungkan anak sulung, Raden Muhammad Rafael yang kini berusia setahun.

“Kali ini alahan teruk sikit, itu yang slow online (tidak aktif di media sosial).

“Doakan mekwa (Mawar) cepat clear tau, loya teruk kali ini,” tulisnya.

Mawar mendirikan rumah tangga dengan Raf yang merupakan adik kepada Datuk Fazley Yaakob pada November 2017.

Raf turut mempunyai sepasang cahaya mata hasil perkahwinan sebelum ini.

Nama Mawar baru-baru ini menjadi trending kerana video Lathi Challenge miliknya menerima pujian netizen bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran, Indonesia juga. – KopiPlanet.com

Farah Nabilah Umum Hamil Anak Sulung, Kandungan Dah 19 Minggu

Pelakon Farah Nabilah Saipuddin menerusi laman Instagramnya hari ini mengumumkan dia kini sedang berbadan dua selepas diijabkabulkan dengan suami, Mohammed Amirul Yunus pada Disember lalu.

“Assalamualaikum makcik dan pakcik! Alhamdulillah, MasyaAllah wa Laahawla wa Laquwwata Illa Billah. Tolong hantar doa anda untuk kami ya? So, mini me or mini mirul?” tulisnya di bahagian kapsyen.

Entri itu turut disertakan dengan video Amirul mencium dahi serta mengusap lembut perut isteri tercinta.

Farah dan Amirul yang merupakan seorang juruterbang dinikahkan pada 20 Disember lalu di Hotel Royale Chulan Damansara.

Pasangan ini mula berkenalan rapat sejak lapan tahun lalu selepas diperkenalkan oleh kawan baik Farah iaitu pelakon Izara Aishah. – KopiPlanet.com

Channing Tatum, Jamie Foxx Beri Penghormatan Terakhir Terhadap George Floyd

Pelakon Channing Tatum dan Jamie Foxx di antara selebriti popular yang dilihat memberi penghormatan terakhir terhadap mangsa kulit hitam George Floyd yang maut di tangan anggota polis berkulit putih dua minggu lalu.

Kedua-dua pelakon itu berpakaian serba putih bersama ratusan hadirin yang lain bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap komuniti kulit hitam yang selama ini menjadi mangsa diskriminasi bangsa kulit putih.

Majlis pengebumian yang berlangsung selama dua jam di Houston, Texas itu dihadiri 500 ahli keluarga George, rakan-rakan serta beberapa tetamu yang merasa terkesan dengan kematiannya.

Menurut laporan autopsi, George mati akibat sukar bernafas apabila lehernya ditindih oleh anggota polis yang bertugas selepas mangsa disyaki melakukan kesalahan memberikan wang palsu ketika membeli barangan di sebuah pasaraya di Minneapolis, Amerika Syarikat dua minggu lalu. – KopiPlanet.com

Ardell Aryana & Nadzmi Adhwa Selamat Timang Cahaya Mata Sulung

Pasangan pelakon, Ardell Aryana dan suami, Nadzmi Adhwa selamat menimang cahaya mata sulung yang dilahirkan pada jam 2.22 pagi tadi.

Nadzmi berkongsi kegembiraan tersebut di Instagramnya dan bersyukur proses kelahiran itu berjalan dengan lancar dan selamat.

Walau bagaimanapun, Nadzmi tidak mendedahkan lagi jantina serta nama anak sulungnya kepada umum.

Ardell bersalin secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Seri Kembangan, Selangor.

Pasangan ini berkahwin pada 1 September lalu selepas lapan tahun berkenalan. – KopiPlanet.com

Harris Alif Hadiah Jambangan Bunga Sempena Birthday Intan Ladyana

Walaupun mempunyai jarak usia yang agak jauh, namun ia tidak menghalang selebriti Harris Alif untuk menyemai cinta bersama teman wanitanya, Intan Ladyana yang 17 tahun lebih berusia daripadanya.

Sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-38 Intan yang diraikan semalam, Harris menghadiahkan jambangan bunga buat buah hatinya itu.

Intan berkongsikan gambar jambangan bunga itu di laman Instagramnya yang mendapat perhatian daripada peminat kedua-dua selebriti ini.

Menulis ringkas, Intan menzahirkan penghargaan ingatan tulus ikhlas kekasihnya itu dengan menaip, “terima kasih” beserta emoji berbentuk hati.

Mengakui menjalinkan percintaan dengan Intan, Haris sebelum ini mengatakan dia tidak kisah dengan perbezaan usia yang ketara di antara mereka. Menurut anak muda berusia 21 tahun itu, dia terpikat dengan Intan kerana merasakan ada keserasian di antara mereka berdua. – KopiPlanet.com