• FOLLOW US
Filem, Terkini

Pengarah Escape Batalkan Gimik Ancaman Bom Di Pusat Beli Belah

Pengarah filem Escape, Ikhwansha Hazer terpaksa membatalkan gimik tenang kewujudan ancaman bom di sebuah pusat membeli-belah setelah mengambil kira faktor keselamatan.

Ikhwansha berkata, pada awalnya dia ingin melakukan gimik ‘berani mati’ tersebut semata-mata untuk mempromosi filem terbaharu arahannya itu.

“Idea tersebut muncul secara spontan tahun lalu masa bersama beberapa rakan yang ‘gila-gila’ memerah idea memikirkan cara untuk mempromosi filem Escape ini.

“Pada awalnya kami mahu mensasarkan pengunjung yang lalu lalang di dalam pusat membeli-belah menerima panggilan misteri mengenai ancaman bom di situ.

“Bagaimanapun selepas difikirkan kesannya kelak, cadangan itu akhirnya terpaksa dibatalkan kerana berkaitan keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, hasrat tersebut juga terpaksa dilupakan setelah melihat pengalaman adiknya sendiri yang pernah ditahan pihak polis kerana melakukan ‘prank’ pengganas untuk sebuah projek video tular selepas menerima aduan orang awam.

Ujar graduan perfileman Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, mungkin sebab terlalu teruja mahu filem pertama arahannya ini mendapat perhatian ramai membuatkan idea ‘gila-gila’ itu muncul.

“Jika di luar negara, gimik seperti itu ‘permainan’ biasa asalkan boleh melariskan karya mereka, tetapi Malaysia ada undang-undang yang wajib dihormati demi keamanan rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Saya tidak mahu disebabkan gimik-gimik yang menyentuh sensitiviti dan keselamatan negara boleh menyebabkan nilai semangat kenegaraan yang diselitkan dalam filem ini diabaikan,” katanya.

Filem Escape dibintangi Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Datuk Jalaluddin Hassan serta mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Escape berkisar tentang Adam yang dikurung di dalam sebuah bilik misteri kerana dituduh sebagai seorang pengganas. Satu-satunya cara untuk dia membebaskan diri adalah dengan memberikan kepada pihak berkuasa lokasi cip peranti senjata yang telah diseludupnya beberapa hari yang lalu.

Namun, Adam tidak mampu untuk mengingat apa-apa kerana mengalami Amnesia. Keadaan bertambah rumit apabila Adam mula menyedari bahawa pihak berkuasa yang mengurungnya sebenarnya adalah kumpulan pengganas yang mahukan lokasi cip senjata tersebut untuk melancarkan agenda jahat mereka.

Filem terbitan Dreamland Production bergenre ‘cerebral thriller’ ini dijangka menemui penonton pada Mac tahun ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend